Mohamad Noor Yusof Ali melakukan pemeriksaan mengejut dalam satu operasi di Kuantan.

KUANTAN – Polis Kuantan akan memakai pakaian preman bagi memantau kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Selain itu, pemeriksaan mengejut rekod MySejahtera juga akan dilakukan di premis-premis awam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mereka yang didapati ingkar SOP akan dikompaun.

Langkah tegas ini dibuat bagi memastikan masyarakat di negeri ini sentiasa disiplin dalam mematuhi norma-norma baharu dalam mengawal pandemik Covid-19.

Katanya, pendekatan ini bukan bertujuan mencari salah.

“Tetapi ia sebagai peringatan kerana ada yang masih langgar SOP, mereka menyumbang kepada risiko peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

“Seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Besar Pahang, jika statistik kes terus meningkat, maka Perintah Kawalan Pergerakan akan dilaksanakan,” katanya kepada MalaysiaGazette

Ketua Polis Kuantan memantau pematuhan SOP di bazar Ramdan di Kuantan.

 

Mohamad Noor turut menyifatkan pemantauan lebih tegas perlu dilakukan kerana semakin hari semakin ramai orang keluar membuat persiapan menjelang Syawal.

”Apabila polis berpakaian biasa, sama ada disedari atau tanpa disedari orang awam, mereka dipantau.

”Jika tidak, bila nampak polis baru nak pakai pelitup muka dengan lengkap,” katanya sambil memberi amaran agar jangan menyalahkan polis yang mengeluarkan kompaun jika ada individu yang ingkar SOP.

Beliau berkata, operasi khas itu melibatkan 12 pegawai kanan dan 27 anggota IPD Kuantan dalam enam kumpulan di 18 lokasi.

Katanya, polis juga mengesyorkan agar kanak-kanak di bawah 12 tahun dan warga emas dilarang memasuki tempat sesak seperti bazar dan pusat membeli belah bagi mengurangkan risiko kebolehjangkitan.

Menurut beliau, meskipun belum ada arahan rasmi mengenainya, namun perkara itu telah dicadangkan mengambil kira situasi semasa. – MalaysiaGazette