Fungus yang ditemui dalam mesin adunan menghasilkan makanan bijirin secara pukal di sebuah kilang di Bukit Panchor, Nibong Tebal hari ini.

NIBONG TEBAL – Sebuah kilang menghasilkan bijirin secara pukal yang diarahkan tutup selama dua minggu sebelum ini dikesan masih gagal memastikan kebersihan di kilang berkenaan.

Serbuan sepasukan pegawai dari Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bermula jam 11 pagi di kawasan Bukit Panchor itu membawa kepada penemuan fungus dan mesin menghasilkan bijirin pula berkarat.

Ketua Bahagian BKKM negeri, Mohd Wazir Khalid berkata, serbuan itu merupakan pemeriksaan susulan selepas kilang yang sama diarahkan tutup atas kesalahan kebersihan tidak memuaskan.

Fungus ditemui dalam mesin adunan hasilkan bijirin secara pukal.

Jelas beliau, nampak perubahan yang dilakukan pemilik premis namun penemuan fungus dalam mesin adunan menghasilkan bijirin itu mungkin boleh menyebabkan berlakunya insiden keracunan makanan.

“Isu keracunan makanan ini selalu diberikan penekanan kerana ia boleh menyebabkan kematian. Hasil pemeriksaan juga kita dapati bungkusan tidak ditutup dengan elok serta kawasan pembuatan bersawang.

“Selain itu, kondusi mesin sedia ada juga dilihat tidak memuaskan kerana ada yang berkarat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Serbuk koko, tepung yang digunakan untuk menghasilkan bijirin itu didapati tidak disimpan secara rapi.

Menurutnya, perusahaan itu diberikan amaran keras mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Kita beri notis amaran kali ini memandangkan ada perubahan dibuat selepas arahan penutupan dibuat, namun sekiranya pemeriksaan akan datang mereka masih gagal memastikan kebersihan ditetapkan kita tidak teragak-agak untuk memberi notis penutupan sekali lagi,” ujar Mohd Wazir.

Turut terlibat dalam serbuan itu Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta polis.

Bijirin yang siap dihirung lalat kerana dibiarkan terbuka dalam kawasan kilang.

Sementara itu, sebuah kilang menghasilkan kuih kacang dan bijirin bersebelah lokasi serbuan pertama dikenakan kompaun berjumlah RM3,500.

Jelas Mohd Wazir, pengusaha kilang itu bukan saja gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penyediaan makanan malah menipu lokasi pembuatan dilabel makanan.

“Hasil semakan kita dapati kilang menghasilkan makanan itu mempunyai sijil halal serta label MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) namun, tahap kebersihannya tidak selari dengan sijil yang dikeluarkan.

“BKKM  memandang serius isu sebegini dan kita akan panjangkan perkara ini kepada pihak berkenaan kerana jika mengikut standard KKM, mereka tidak layak mendapatkan pengiktirafan ini,” kata Mohd Wazir.

Difahamkan, kilang pertama yang menghasilkan produk berasaskan bijirin secara pukal itu telah beroperasi selama 21 tahun manakala kilang kedua yang menghasilkan produk berasaskan kuih kacang pula sudah 15 tahun beroperasi. – MalaysiaGazette

Keadaan troli untuk meletakkan kuih kacang itu didapati mempunyai kesan kotoran lama selain melekit.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.