Angela Merkel

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Jerman pada Rabu bekerjasama mewujudkan hab global baharu untuk kepintaran pandemik dan epidemik, data, pengawasan dan inovasi analitik berpangkalan di Berlin, lapor Agensi Berita Xinhua.

“Hab WHO baharu itu berpenanan sebagai platform global untuk pencegahan pandemik, menyatukan pelbagai institusi kerajaan, akademik dan swasta,” kata Canselor Jerman Angela Merkel pada taklimat media bersama secara maya.

Selain menjadi sebahagian Program Kecemasan Kesihatan WHO, ia juga merupakan kerjasama baharu negara dan rakan kongsi di seluruh dunia, mendorong inovasi untuk meningkatkan ketersediaan dan rangkaian pelbagai data; membangunkan alat dan model ramalan untuk analisis risiko; dan bagi memantau langkah-langkah pengendalian penyakit, penerimaan masyarakat dan infodemik, menurut WHO.

Pusat ini akan menyokong pakar kesihatan awam dan pembuat dasar di semua negara dengan memberi pandangan, membolehkan keputusan mengenai mencegah dan menangani keadaan darurat kesihatan masyarakat pada masa depan dapat dibuat dengan pantas.

Ia juga diharapkan dapat menggalakkan peningkatan inovasi untuk keupayaan ramalan dan amaran awal untuk WHO dan negara anggota.

“Satu daripada iktibar COVID-19 ialah dunia memerlukan kemajuan besar dalam analisis data untuk membantu pemimpin membuat keputusan kesihatan awam yang tepat,” kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

“Ia memerlukan kemampuan memperkasa teknologi canggih seperti kecerdasan buatan, menggabungkan pelbagai sumber data, dan bekerjasama dalam pelbagai disiplin ilmu. Data dan analisis yang baik akan memberikan keputusan lebih baik,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast