Foto Facebokk FAM.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai penuh nama sembilan individu yang telah dipilih oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin bagi menganggotai Pasukan Petugas Khas Presiden atau Presidential Task Force (PTF).

Pasukan ini bertujuan memberi peluang kepada individu-individu yang bukan dari persatuan bola sepak negeri untuk menyumbang idea membantu Presiden FAM merencanakan hala tuju badan induk bola sepak negara.

Mereka yang dipilih terdiri antaranya dalam kalangan peneraju korporat, syarikat berkaitan kerajaan, pengamal undang-undang, ahli akademik, penyokong bola sepak, media serta kerabat diraja.

Dalam mengumpul maklumat sebagai usaha merencana idea-idea baharu yang bernas, PTF turut diberi hak untuk mengadakan sesi perbincangan dengan pemegang taruh industri bola sepak.

Antara nama besar yang dipilih menganggotai PTF ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Berjaya Corporation Berhad, Abdul Jalil Abdul Rasheed. Sebelum ini, beliau merupakan CEO termuda di Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Tahun lalu, beliau memberi pandangan mengenai lima perkara sesebuah kelab bola sepak tempatan yang perlu pertimbangkan sebelum memasang impian menyenaraikannya di Bursa Malaysia.

Selain Abdul Jalil, FAM turut melantik seorang kerabat diraja yang lebih dikenali sebagai Tengku Bib dan merupakan Tengku Indera Bijaya Diraja Selangor iaitu Tengku Salehuddin Shah AlHaj Tengku Sulaiman Shah AlHaj.

Tujuh lagi individu lain daripada pelbagai latar belakang yang dipilih menganggotai PTF adalah

Datuk Ruzain Idris

Seorang wakil agensi kerajaan yang kini menjawat tugas selaku Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia sejak Oktober 2020.

Khairul Kamarudin

Seorang ahli korporat yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Dr. Mohd Bahrin Othman

Seorang ahli akademik dan pengamal undang-undang yang merupakan pensyarah kanan di Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam sejak dari tahun 2000.

Muhammad Tarmizi Abdul Aziz 

Seorang wakil penyokong setia bola sepak negara yang mana beliau yang lebih dikenali sebagai Mizi merupakan antara penggerak utama Ultras Malaya.

Prof. Dr Sivamurugan Pandian

Seorang ahli akademik yang merupakan pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan Ahli Senat USM.

Ooi Kin Fai

Seorang wakil media yang berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan sukan dan merupakan Timbalan Pengarang di Goal Malaysia sejak 2016 hingga kini.

Dr. Wirdati Mohd Radzi

Seorang ahli akademik wanita dan pengamal undang-undang sukan yang merupakan pensyarah kanan di Pusat Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast