Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada sidang media selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI)  berhubung pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berkenaan campur tangan politik dan rasuah dalam institusi kerajaan perlu disegerakan untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Berikutan itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta menteri-menteri dalam kalangan parti itu untuk membawa saranan penubuhan suruhanjaya tersebut kepada pengetahuan kerajaan.

“Pendedahan kedua-dua bekas ketua yang pernah mengetuai dua organisasi penting Kerajaan adalah amat serius terutamanya melibatkan campur tangan politik dan rasuah dalam institusi-institusi yang menjadi benteng mempertahankan Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Keselamatan Negara,” katanya menerusi kenyataan.

Zahid berkata demikian dalam menyuarakan sokongan terhadap cadangan Pemuda UMNO untuk mendesak kerajaan menyegerakan penubuhan RCI yang disuarakan oleh Ketua pergerakan sayap parti itu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

“Saya bersetuju dengan ketetapan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk mendesak Kerajaan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) terhadap pendedahan Tan Sri Tommy Thomas bekas Peguam Negara dan Tan Sri Abdul Hamid Bador, bekas Ketua Polis Negara,” menurutnya.

Pada sidang media terakhirnya sebagai KPN, Abdul Hamid  menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan berunsur rasuah berkaitan ahli politik yang melompat parti bagi mendapatkan habuan.

Abdul Hamid berkata, pihaknya memerangi rasuah dalam pasukan PDRM, namun dalam politik rasuah berlaku di mana-mana. – MalaysiaGazette