Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan secara berhati-hati minggu depan berikutan pelabur akan memberi tumpuan kepada pengumuman mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2021 Malaysia minggu depan.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata, KDNK suku pertama Malaysia dijangka menunjukkan kemerosotan berbanding tempoh yang sama tahun lepas, menunjukkan impak daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dirasai sepanjang bulan Februari tahun ini.

“Dengan cuti Hari Raya Aidilfitri pada minggu depan, kami turut menjangka dagangan akan berkurangan.

“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI akan diniagakan dalam jajaran kecil antara 1,580 dan 1,600,” katanya kepada Bernama.

Sepanjang minggu baru berakhir, Bursa Malaysia menyaksikan dagangan turun naik berikutan pengumuman mengenai beberapa angka ekonomi, termasuk data pembuatan yang lebih baik dan status quo Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia.

Pada Isnin, Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Malaysia IHS Markit meningkat kepada 53.9 pada April daripada 49.9 pada Mac, menunjukkan peningkatan yang kukuh dalam sektor pembuatan.

Bank pusat telah mengekalkan OPR pada 1.75 peratus pada Khamis, paras yang sama sejak 7 Julai, 2020.

Bagi minggu baru berakhir, sokongan belian yang berterusan di kaunter penjagaan kesihatan, produk perindustrian dan perkhidmatan yang terpilih mendorong Bursa Malaysia untuk mengakhiri minggu ini positif, dengan indeks petunjuk pasaran naik 0.58 peratus.

Adam berkata FBM KLCI ditutup tinggi 0.6 peratus pada Jumaat dalam persekitaran aktiviti belian saham pada harga rendah, terutamanya di kaunter sarung tangan getah, yang meningkatkan Indeks Penjagaan Kesihatan Bursa Malaysia sebanyak 2.3 peratus, menjadikannya kaunter paling untung, dari segi sektor.

“Sentimen secara keseluruhannya adalah positif, didorong oleh berita bahawa eksport China naik tanpa dijangka, manakala pertumbuhan importnya mencecah paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI merosot 14.20 mata kepada 1,587.45 daripada 1,601.65 pada Jumaat lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 140.67 mata kepada 11,657.62, FBMT 100 merosot 135.78 mata kepada 11,314.38 dan FBM 70 berkurangan 316.66 mata kepada 15,259.48.

FBM ACE susut 519.49 mata kepada 8,326.53 dan FBM Emas Shariah merosot 194.67 mata kepada 13,077.83.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 197.80 mata kepada 7,097.49, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 66.63 mata kepada 14,803.62 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.18 mata kepada 200.54.

Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 154.75 mata kepada 3,158.65, Indeks Tenaga naik 2.57 mata kepada 899.70 dan Indeks Teknologi susut 4.49 mata kepada 81.27.

Jumlah dagangan naik kepada 33.13 bilion unit bernilai RM20.50 bilion daripada 28.82 bilion unit bernilai RM19.13 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 20.72 bilion saham bernilai RM22.40 bilion daripada 15.02 bilion saham bernilai RM14.38 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.72 bilion unit bernilai RM192.55 juta daripada 1.64 bilion unit bernilai RM177.03 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 10.68 bilion saham bernilai RM3.90 bilion daripada 12.14 bilion saham bernilai RM3.56 bilion pada minggu lepas. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast