Ketua Polis Kuala lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim meninjau bazar Aidilfitri di Jalan Tunku Abdul Rahman petang tadi bersempena penguatkuasaan PKP 3.0 di ibu negara sehingga 20 Mei ini.

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil semula suspek dan saksi kes rogol yang dikaitkan dengan rakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk diambil keterangan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, setakat ini polis telah menahan dua individu bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua suspek itu dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kita terima laporan mengenai kes rogol itu pada Disember tahun lalu dan buat tangkapan pada bulan sama.

“Kemungkinan besar kita (polis) akan panggil semula suspek dan saksi kes rogol itu untuk siasatan daripada sudut lain selepas menerima laporan baharu berkaitan kejadian sama.

“Polis sedang giat untuk melengkapkan kertas siasatan kes ini sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Bazar Aidilfitri, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini.

Tambah beliau, kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Pada 7 Disember lalu, seorang wanita membuat laporan polis mendakwa dirogol seorang rakan kepada ADUN. – MalaysiaGazette