Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Kerajaan Terengganu akan memperluaskan bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu pertama kepada semua pengguna kategori rumahtangga sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini kerajaan negeri telah pun memberikan bekalan air percuma 20 meter padu kepada penerima bantuan eKasih, Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta penduduk PPRT.

Katanya, ini bagi membantu rakyat Terengganu menghadapi suasana hari raya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta situasi pandemik Covid-19.

“Pemberian air percuma ini akan memberi manfaat kepada lebih 1.33 juta rakyat yang terdiri daripada isi rumah kategori rumah tangga.

“Ini akan melibatkan perbelanjaan yang berjumlah hampir RM570,000 untuk tempoh selama sebulan bagi bermula 1 hingga 31 Mei,” katanya menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Ahmad Samsuri berharap, inisiatif itu dapat meringankan impak keadaan ekonomi akibat wabak Covid-19 yang melanda dan sebagai tanda simpati serta prihatin kerajaan terutama di musim sambutan Aidilfitri tahun ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast