Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo menunjukkan antara pacuan empat roda yang berjaya dirampas susulan penangkapan 13 individu yang terlibat dalam sindiket curi kenderaan mewah sekitar Lembah Klang ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Sindiket curi kenderaan mewah dikenali sebagai Geng King tumpas susulan penahanan 13 individu, termasuk dua wanita, menerusi beberapa siri serbuan bermula 1 Mei sehingga hari ini.

Suspek terdiri daripada 11 lelaki warga tempatan dan dua wanita warga asing berusia dalam lingkungan 24 hingga 54 tahun itu ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan ibu negara.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo berkata, serbuan yang dijalankan di Kelantan turut dibantu anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli dan Pasukan Gerakan Am negeri.

“Susulan dari tangkapan yang dibuat, polis turut berjaya merampas lima buah kenderaan mewah yang dilaporkan hilang sekitar ibu negara dan negeri Johor membabitkan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Toyota Fortuner dan Ford Ranger Raptor serta sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard,” katanya menerusi sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo menunjukkan nombor casis palsu yang dirampas selepas pihaknya menumpaskan 13 ahli Geng King yang aktif curi kenderaan mewah sekitar Lembah Klang ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 MEI 2021.

Jelas Lei Choo, siasatan lanjut mendapati sindiket terbabit bergiat aktif dalam kegiatan mencuri kenderaan sejak 2018.

Tambah beliau, sindiket itu yang menyasarkan kenderaan mewah menggunakan modus operandi menyalin frekuensi kunci semasa kenderaan ditinggalkan pemilik.

“Ahli sindiket akan cuba membuka kenderaan tersebut dan apabila berjaya, jammer kemudiannya diaktifkan untuk menghalang sistem kedudukan sejagat (GPS) berfungsi semasa kereta itu dilarikan ke negeri Kelantan.

“Kenderaan yang dicuri itu akan diseludup masuk ke negara jiran melalui pengkalan haram dan kita percaya ada orang dalam yang mengaturkan semuanya.

“Suspek juga dipercayai mempunyai rangkaian ahli di sekitar Lembah Klang dan negara jiran,” ujarnya.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo bercakap kepada media mengenai kejayaan pihak polis membanteras kegiatan sindiket curi kenderaan mewah di sekitar Lembah Klang ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 MEI 2021.

Mengulas lanjut, Lei Choo berkata, setiap ahli diberikan upah sehingga RM2,500 bagi setiap kenderaan yang dicuri berdasarkan peranan masing-masing.

Katanya, kenderaan tersebut akan dijual pada harga kira-kira RM35,000 bergantung kepada permintaan.

“Setakat ini sebanyak 62 kes kecurian kenderaan mewah di kawasan Lembah Klang berjaya diselesaikan dengan penangkapan ahli sindiket ini.

“Semakan yang dibuat mendapati kesemua suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kesemua mereka akan disambung reman bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast