Presiden PSJ, Datuk Abdul Halim Suleiman

JOHOR BAHRU – Selepas Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak) membuat keputusan untuk menarik diri daripada menjadi ahli gabungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), hari ini Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ) turut mengambil tindakan sama.

Presidennya, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, bukan sahaja menarik diri dalam PSM, malah beliau yang memegang jawatan Naib Presiden I PSM sejak tiga tahun lalu meletak jawatan.

Keputusan sebulat suara itu, jelasnya, dilakukan sejurus mengadakan perbincangan bersama 18 ahli jawatankuasa PSJ.

“Kami sebulat suara mengambil pendekatan untuk keluar secara rasmi sebagai ahli gabungan PSM dan saya juga meletak jawatan selaku Naib Presiden I, PSM serta merta.

“Kami sudah bosan dengan drama yang dicetuskan oleh Datuk Ahmad Ismail. Kalau sudah kena gantung oleh Persekutuan Sepak Takrawa Asia (ASTAF), sudah tentu beliau bukan lagi Presiden PSM. Tak payah nak terhegeh-hegeh untuk panggil mesyuarat.

“Mesyuarat sepatutnya diuruskan oleh Timbalan Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz tapi sampai sekarang tiada dipanggil. Mesyuarat itu penting untuk kami ahli gabungan PSM mendapat maklumat terperinci hala tuju PSM selepas Presiden digantung pada 5 Mei lalu,” katanya dalam sidang media mengenai pengunduran itu.

Pada 5 Mei lalu, Ahmad dikenakan hukuman penggantungan selama 15 tahun manakala pengurusan PSM digantung sementara pada 28 April lalu.

Selain digantung 15 tahun, Ahmad turut didenda sebanyak AS$25,000 (RM102,937) bagi menampung kos perbicaraan yang berlangsung secara maya dan dihadiri wakil dari India, Iran, Jepun dan Pakistan.

Sebelum itu, ASTAF mengambil tindakan menggantung sementara PSM daripada terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan itu yang berkuatkuasa serta merta, atas dakwaan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Ditanya sama ada 15 persatuan negeri lain akan turut sama mengikuti jejak PSJ dan Gastak, Abdul Halim berkata, ia terserah kepada budi bicara persatuan masing-masing kerana beliau tidak akan menghasut.

“Langkah PSJ adalah untuk memastikan sukan itu dibangunkan menerusi kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) yang sedia untuk turut membantu meningkatkan lagi permainan sukan tradisi itu.

“Sepatutnya Datuk Ahmad perlu akur dengan tindakan penggantungan oleh ASTAF selepas beliau berdiam diri. Eloklah letak jawatan secara terhormat dan jangan keruhkan lagi situasi kerana kami ingin pembangunan sukan sepak takraw diteruskan,”katanya. – MalaysiaGazette