Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa kerajaan memberikan insentif tambahan kepada penjawat awam yang berada di barisan hadapan menentang penularan pandemik Covid-19.-Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yakin penjawat awam melaksanakan tanggungjawab secara profesional meskipun mempunyai ideologi dan pandangan politik tersendiri.

Justeru itu, Presidennya Adnan Mat berharap tidak ada tuduhan mahupun persepsi bahawa penjawat awam yang tidak menyokong kerajaan berpotensi melakukan sabotaj.

Sebaliknya kata beliau, kerajan sepatutnya mempercayai dan meyakini penjawat awam merupakan tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan dan negara.

“Walaupun setiap penjawat awam mempunyai ideologi dan pandangan politik masing-masing, CUEPACS percaya dan memberi jaminan bahawa penjawat awam sangat profesional dan berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab serta boleh membezakan kepentingan awam yang dipikul mereka.

“Walaupun kerajaan dan kepimpinan tertinggi bertukar ganti, penjawat awam tetap setia dalam melaksanakan setiap dasar dan polisi yang diputuskan demi kebaikan rakyat dan negara dengan penuh profesionalisme.

“Percayalah bahawa selama ini penjawat awamlah yang membantu melaksanakan segala dasar dan polisi yang diperkenalkan kerajaan dalam membangunkan negara mahupun kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini dilaporkan berkata, penjawat awam mesti mengikut arahan kerajaan dikuasai parti yang memerintah walaupun tidak menyokong parti yang membentuk kerajaan.

Katanya, jika tidak selesa dengan kerajaan bukan daripada parti yang disokong, secara moral penjawat awam boleh meletakkan jawatan.

Mengulas lanjut, Adnan menganggap kenyataan Ahli Parlimen Maran itu seolah-olah memberi gambaran bahawa penjawat awam tidak amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat serta negara.

“Sejarah telah membuktikan bahawa penjawat awam tiada masalah dalam melaksanakan amanah mereka walaupu berlaku peralihan kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) dan sekali lagi pada tahun lalu.

“Tidak timbul isu sabotaj bahkan penjawat awam kekal komited membantu kerajaan mendepani cabaran yang disebabkan pandemik Covid-19,” tambah beliau.

Dalam pada itu, CUEPACS katanya, turut berharap semua penjawat awam sentiasa mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.- MalaysiaGazette