Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,973 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu sebelum dua hari lagi menjelangnya Aidilfitri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 3,968 merupakan kes tempatan manakala lima lagi adalah kes import.

Katanya, bagi kes tempatan ia melibatkan 3,540 warganegara dan 428 lagi bukan warganegara.

“Kes aktif pula mencacatkan jumlah 38,499 dimana seramai 453 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 244 kes lagi memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 yang turut dihadiri bersama Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Dr. Noor Hisham, terdapat sebanyak 22 kes kematian lagi dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif yang meninggal dunia akibat wabak tersebut kini sebanyak 1,722 kes.

Jelasnya, kes kematian pada hari ini melibatkan enam kes di Selangor, lima kes di Kelantan, tiga kes di Johor, masing-masing dua kes di Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, serta masing-masing satu kes di Sabah, Sarawak, Kedah, dan Pahang. – MalaysiaGazette