Bank Negara
Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Malaysia kekal berada di landasan untuk mencapai unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di antara 6.0 dengan 7.5 peratus pada 2021, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pertumbuhan itu diperkukuh oleh pemulihan permintaan domestik seperti ditunjukkan indeks perdagangan runcit yang kembali merekodkan pertumbuhan positif 9.6 peratus pada Mac 2021 selepas mengalami penyusutan selama lima bulan sebelum ini.

Beliau berkata peningkatan beransur-ansur yang dicatatkan pekerjaan serta permintaan luaran yang boleh anggap semakin positif juga akan mendorong pertumbuhan ekonomi tahun ini.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah menyemak naik pertumbuhan global 2021 kepada 6.0 peratus pada April berbanding dengan unjuran 5.5 peratus yang dibuat pada Januari, katanya.

Unjuran pertumbuhan 2021 yang dibuat itu telah sedia mempertimbangkan ketidaktentuan ekoran pandemik COVID-19, termasuk potensi peningkatan semula kes baharu dan langkah pengekangan bersasar, katanya pada sidang media secara maya susulan pengumuman prestasi KDNK suku pertama 2021 Malaysia pada Selasa.

Beliau berkata, ketidaktentuan tersebut ditunjukkan oleh julat unjuran 150 mata asas oleh BNM, iaitu di antara 6.0 peratus dengan 7.5 peratus.

“Selain itu, andaian di sebalik unjuran pertumbuhan berkenaan juga bersifat konservatif iaitu larangan perjalanan rentas negeri sehingga akhir tahun ini dan sempadan antarabangsa kita kekal ditutup sepanjang 2021,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, BNM menjangkakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tidak akan menjejaskan trajektori pertumbuhan keseluruhan sehingga mengalami penguncupan -17.1 peratus seperti yang dicatatkan pada suku kedua 2020.

Ini memandangkan kebanyakan sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi dengan langkah pengekangan pandemik dikenakan oleh kerajaan, katanya.

Beliau berkata pertumbuhan KDNK suku pertama 2021 pada -0.5 peratus adalah jauh lebih baik berbanding jangkaan meskipun dengan pengenaan PKP 2.0 awal tahun ini.

“Satu perbezaan ketara di antara PKP 1.0 dengan PKP 2.0 adalah semua sektor ekonomi dibenarkan operasi semasa PKP 2.0,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast