gagasan penyatuan ummah
Muhammad Fauzi Yusoff .

KUALA LUMPUR – Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Pulau Pinang mengecam serangan udara yang dilakukan tentera Israel terhadap Gaza sehingga mengorbankan 20 orang awam ketika umat Islam Palestin menunaikan solat tarawih di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis pada Jumaat lalu.

Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusof berkata, Pas menganggap tindakan tentera Israel itu sebagai bacul dan zalim kerana perbuatan itu dilakukan ketika umat Islam Palestin sedang beribadah di bulan Ramadan.

Menurutnya, tindakan itu tidak bertamadun dan tiada perikemanusiaan, serta menambah ‘luka parah’ rakyat Palestin yang sekian lama berdepan keganasan pasukan tentera Israel.

“Kami menyokong ketegasan Presiden Pas yang juga merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pendirian dan kecaman ke atas keganasan dilakukan ke atas umat Islam di Palestin.

“Keganasan ini adalah satu jenayah antarabangsa dan kami melihat isu keganasan serta penindasan ini yang turut berlaku ke atas umat Islam Uighur di China dan Myanmar, sehingga kini tiada pembelaan sewajarnya,” katanya menerusi pautan kenyataan akhbar yang dikongsi di Twitter.

Muhammad Fauzi berkata, umat Islam di Malaysia, terutama di Pulau Pinang perlu sedar dan bersatu atas nama agama, agar mempunyai kekuatan dalam mendepani secara bersama isu perlecehan agama serta ummah ketika ini.

“Kami juga menyeru semua umat Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan untuk terus berdoa dan berusaha agar umat Islam di Palestin diberi kesabaran, kekuatan serta pembelaan daripada Allah SWT.

“Di saat ini, kami mengajak seluruh umat Islam supaya terus bermunajat kepada Allah swt untuk kesejahteraan umat Islam di sana dan bersama-sama meneruskan bantahan sebagai solidariti kepada saudara kita di bumi al-Quds, memandangkan Palestin adalah melangkaui isu umat Islam serta Isu kemanusiaan sejagat,” katanya. – MalaysiaGazette