KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mengemukakan cadangan beberapa tindakan yang perlu dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik dan kluster jangkitan COVID-19.

Dalam kenyataan pada Rabu, DPMM menjelaskan, pihaknya menerima banyak aduan daripada komuniti usahawan khususnya mengenai kelangsungan serta kehilangan mata pencarian akibat beberapa Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) yang mula dikenakan pada 18 Mac, 2020.

“Berdasarkan data yang diperolehi daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan penularan jangkitan serta kluster, DPMM mengesyorkan PKP Diperketatkan (PKPD) bersasar dilaksanakan bagi kilang yang menjadi punca penularan COVID 19 bermula 17 Mei hingga 17 Jun, 2021.

“Ini dapat dilakukan dengan semua pekerja asing yang digajikan atau diambil bekerja diletakkan di hotel bajet yang terdapat di daerah atau tempat asrama pekerja selama tempoh PKPD (26 hari) dilaksanakan,” jelasnya.

Ia menambah kos tersebut perlu ditanggung oleh majikan terbabit selain kerajaan tidak seharusnya berkompromi kerana kegagalan majikan terbabit telah mengakibatkan implikasi serius yang perlu ditanggung oleh seluruh rakyat.

Berdasarkan statistik KKM, 48 peratus kes penularan COVID19 adalah berpunca daripada sektor perkilangan, menurutnya.

DPMM menjelaskan kerajaan juga boleh memperkenalkan moratorium bagi pinjaman serta sewaan selain subsidi upah selama enam bulan mulai 1 Mei hingga 31 Okt, 2021.

“Semua bentuk pinjaman yang dikawal selia oleh Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan pemberi pinjaman berlesen meliputi penjualan secara kredit dan termasuk kad kredit juga perlu tiada caj tambahan atau keuntungan atau faedah (riba) yang dikenakan selama tempoh itu,” jelasnya.

Ia menambah penyelarasan prosedur operasi standard (SOP) antara Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu dilakukan untuk mengelak sebarang kekeliruan.

DPMM juga mencadangkan agar kerajaan menetapkan tempoh bagi tindakan krisis COVID-19 sehingga 31 Dis, 2023 untuk membolehkan semua pihak membuat perancangan.

“Kita sudah ada protokol PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan, maka sewajarnya ia digunakan secara proaktif berbanding secara reaktif pada masa ini.

“Tindakan tepat serta berkesan hendaklah diambil oleh kerajaan dengan rakyat perlu diutamakan,” jelasnya. – MalaysiaGazette