Harga daging tempatan di sesetengah tempat di negeri ini meningkat hingga mencecah RM36 sekilogram dan membebankan pengguna. - foto hiasan
Harga daging tempatan di sesetengah tempat di negeri ini meningkat hingga mencecah RM36 sekilogram dan membebankan pengguna. - foto hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerima aduan berhubung kenaikan harga daging tempatan secara mendadak di negeri ini.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, kenaikan harga itu dilaporkan berlaku sejak awal Ramadan lalu dan kini melonjak ketika Aidilfitri.

Subbarow.

Katanya, berdasarkan aduan daripada pengguna harga daging dijual antara RM40 hingga RM55 sekilogram berbanding harga siling RM34 seperti yang ditetapkan mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021.

“Perkara ini tidak sepatutnya dibiarkan dan kita harap pihak berkuasa atau agensi berkaitan supaya segera meningkatkan pemantauan di semua peringkat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, daging tempatan menjadi rebutan dipercayai berikutan isu sindiket kartel daging baru-baru ini.

Mohd Ridzuan.

Jelas beliau, ia sekali gus menyebabkan pengguna tidak mahu beli daging sejuk beku.

“Kita masih teruskan pemantauan dan akan mengenakan tindakan kompaun sekiranya didapati ada yang mengambil kesempatan menaikkan harga.

“Kita juga mengalu-alukan aduan daripada orang ramai agar tindakan segera dapat diambil,” ujar Mohd Ridzuan.

Aduan dan maklumat berkaitan boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri menerusi talian 04-3840245, Pusat Arahan Penguatkuasaan (03-8882 6088 / 03-8882 6245) dan Portal e-aduan KPDNHEP (https://eaduan.kpdnhep.gov.my).

Atau menerusi talian bebas tol 1 800 886 800; emel [email protected]; aplikasi WhatsApp KPDNHEP (019-279 4317) dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDNHEP. – MalaysiaGazette