Reezal Merican Naina Merican

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkata, pihaknya
tidak pernah memberi sebarang kelulusan kepada warga Israel untuk menyertai kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2021 yang sudah ditangguhkan.

Malah KBS turut bertegas tidak akan membenarkan sebarang kelulusan kepada pemain badminton dari negara itu menyertai sebarang kejohanan pada masa depan.

Dengan pendirian itu, KBS menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak tertentu  kononnya pemain badminton dari Israel diberi kelulusan menyertai dalam kejohanan terbuka Malaysia kali ini.

“Pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga sedia maklum mengenai perkara ini
dan telah disampaikan kepada pihak Federasi Badminton Dunia (BWF).

“Pihak BAM juga telah menjelaskan bahawa jadual perlawanan ‘draw’ yang telah
dikeluarkan oleh pihak BWF tidak pernah diluluskan oleh pihak BAM mahupun KBS,” jelas
Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, ia merupakan syarat yang telah lama terpakai dan selari dengan dasar luar negara.

“Saya juga sentiasa mengingatkan bahawa semua kelulusan penganjuran kejohanan
sukan antarabangsa oleh KBS melalui Pesuruhjaya Sukan adalah tertakluk kepada
dasar luar negara.

“Ini termasuklah larangan penyertaan atau penglibatan dari negara Israel tanpa sebarang kompromi.

“Sehubungan itu, KBS ingin menafikan sebarang dakwaan bahawa pemain Israel telah diberi kebenaran menyertai Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia seperti mana yang tular di media sosial,” ujarnya.-MalaysiaGazette