KUALA LUMPUR – Sebanyak 8,573,873 ujian saringan Covid-19 telah dijalankan sejak 1 Januari tahun ini sehingga 13 Mei lepas.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia merangkumi sebanyak 4,747,837 ujian real-time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan 3,826,036 ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) termasuk
saringan PERKESO dan Bukan PERKESO.
“Purata jumlah ujian saringan yang telah dijalankan secara mingguan adalah
sebanyak 63,925 sampel (dari Minggu Epid (ME) ke-15 hingga ME ke-18), manakala jumlah ujian dari ME ke-11 hingga ME ke14 adalah sebanyak 483,518 sampel.
“Terdapat peningkatan jumlah saringan yang telah dijalankan berbanding bulan
sebelumnya iaitu sebanyak 369,456 sampel atau 23.6 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sehingga kini, pelbagai langkah kesiapsagaan berikutan
pertambahan bilangan kes Covid-19 di Malaysia telah dilaksanakan termasuklah menambah kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian diagnostik RT-PCR dan
Penyumberluaran ujian saringan Covid-19 ke makmal swasta.
Selain itu, penggunaan ujian RTK-Ag sebagai ujian saringan Covid-19 bagi mengesan wabak Covid-19 dengan cepat dalam jumlah yang besar dan pengujian saringan menggunakan air liur yang lebih mudah dan cepat serta boleh dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat.
Justeru beliau menegaskan, agar masyarakat terus mengamalkan Posedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan khususnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Ujarnya, individu yang bergejala dan dari kawasan berisiko tinggi, dinasihatkan membuat pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran.
“Bagi mereka yang telah menjalani ujian pengesanan Covid-19, apabila telah menerima keputusan, mereka boleh memaklumkan kepada KKM melalui aplikasi
MySejahtera iaitu “self-notification,” tambahnya. – MalaysiaGazette