Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-pertubuhan pembela Islam (Pembela) hari ini melancarkan ‘perang poster’ bagi membantah kekejaman, pencerobohan serta serangan bersenjata tentera Israel terhadap rakyat Palestin yang berlarutan sejak Jumaat lepas.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya mengajak rakyat Malaysia bersama dalam perang poster itu dan menyebarkannya ke seluruh negara supaya masyarakat dunia bahawa tentera zionis adalah pengganas sebenar yang menafikan hak asasi manusia.

“Mereka sangka propaganda mereka hebat sangat. Kami rakyat Malaysia akan lawan naratif propaganda palsu Israel.

“Teruskan menaikkan info dan berita tentang kekejaman Israel di media sosial.

“Bahan-bahan kreatif dalam Bahasa Inggeris ini kita sebarkan ke dunia maya supaya seluruh dunia tahu kekejaman Israel dan lekat dalam pemikiran mereka,” katanya dalam hantaran terbaru di Telegram rasminya, hari ini.

Antara mesej terkandung dalam poster anti-Israel itu ialah The World Is Against Israel, Israel Too Scared, They Need To Kill Women & Children, Israel Is A War Criminal, Israel Will Be Hell, Israel Is Coward, Malaysia Stands With Palestine, Israel Kills Children But Act As Victim, Israel Is The Real Terrorist dan Israel Koyak.

Sebelum ini, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel serta pendatang haram yahudi ke atas rakyat Palestin dan para jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa, Jumaat lepas.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perbuatan zalim itu bukan sahaja perlu dikecam sekeras-kerasnya malah Kerajaan Israel mesti dipertanggungjawabkan ke atas pelanggaran hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.

“Ramai rakyat Palestin yang tercedera dalam serangan itu. Pencerobohan di Masjid Al-Aqsa disasarkan terhadap para jemaah yang sedang menunaikan solat di hari-hari terakhir Ramadan.

“Tindakan itu merupakan satu bentuk penghinaan terhadap umat Islam dan nilai kemanusiaan,” katanya Hishammuddin dalam satu kenyataan, Sabtu lalu.

Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya pengusiran secara paksa rakyat Palestin daripada kediaman mereka termasuk yang berada di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitul Maqdis.

Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera dan tegas menentang kezaliman terbaru Israel ini. – MalaysiaGazette