KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas pencerobohan serta serangan ganas tentera rejim Israel terhadap Masjid al-Aqsa dan Semenanjung Gaza.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah menyifatkan pencerobohan dan serangan berterusan terhadap tempat suci umat Islam yang ketiga itu dan rakyat Palestin pada hari-hari terakhir bulan Ramadan sebagai perbuatan keji dan tindakan yang amat zalim serta tidak berperikemanusiaan.
Sehubungan itu, lanjutan kepada perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Palestin semalam, Seri Paduka menzahirkan sokongan supaya Malaysia menerajui serta bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim zionis Israel ke atas Palestin.
“Seri Paduka Baginda turut telah menegaskan bahawa kerajaan Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan untuk persidangan tergempar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) diadakan bagi membincangkan isu keganasan Israel terhadap Palestin yang dijadualkan hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin kali ini bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lepas diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu.
Sejak itu, dilaporkan lebih 119 rakyat Palestin terkorban dan beratus-ratus lagi cedera setakat ini.- BERNAMA