GENEVA – Negara kaya perlu berkorban dan bertolak ansur dengan menghentikan sementara program imunisasi Covid-19 kepada kanak-kanak dan remaja di negara mereka.
Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan ialah bekalan vaksin itu disumbangkan kepada negara miskin yang dalam keadaan terdesak memerlukan imunisasi tersebut.
Agensi melaporkan, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus mendedahkan ada negara-negara ‘kaya’ yang sudah mula memberikan vaksin kepada kanak-kanak pada masa ini.
Walhal kata Tedros, banyak lagi negara miskin yang memerlukan bekalan vaksin tersebut untuk diberikan kepada golongan barisan hadapan serta golongan berisiko negara itu.
“Saya mohon kepada negara-negara kaya ini untuk tampil menyumbang bekalan vaksin Covid-19 ke program Covax bagi memastikan penduduk yang memerlukan di semua negara mendapat perlindungan sewajarnya.
“Kita mendapati sejumlah negara kaya telah membeli sebahagian besar bekalan vaksin dan ianya diberikan kepada golongan kurang berisiko seperti kanak-kanak dan remaja di negara berkenaan.
“Saya faham mengapa beberapa negara ingin beri vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak dan remaja namun saya menggesa mereka untuk mempertimbangkan semula langkah itu dan menyumbang bekalan itu ke Covax,” katanya hari ini.
Setakat ini media melaporkan hampir 1.4 bilion dos vaksin Covid-19 diberikan di 210 negara seluruh dunia.
Manakala data menunjukkan sebanyak 44 peratus dos vaksin diberikan di negara-negara berpendapatan tinggi yang hanya mewakili 16 peratus penduduk dunia tetapi hanya 0.3 peratus dos vaksin diberikan di 29 negara berpendapatan rendah. -MalaysiaGazette
















