Omar Mokhtar A Manap

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan anak muda di Parit Raja, Batu Pahat yang menunjukkan rasa protes dan mengangkat kain rentang bertulis “kerajaan gagal” perlu dilihat dalam kerangka yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 10 (1) berhubung kebebasan bercakap dan berhimpun.

Ini merupakan isyarat jelas kekecewaan dan kemarahan rakyat terutama anak muda terhadap kerajaan yang jelas gagal menangani pelbagai isu seperti kos sara
hidup, pengangguran, perniagaan yang terjejas teruk, peningkatan jangkitan wabak Covid-19, undang-undang dan peraturan dua darjat, pendidikan yang caca-marba dan banyak lagi yang boleh disenaraikan.

Luahan kekecewaan, kemarahan serta rasa tidak puas hati rakyat juga boleh dilihat di media sosial dan siri demonstrasi yang telah diadakan di hadapan Parlimen dan beberapa lokasi lain termasuklah di Johor Bahru pada Mac lalu.

Artikel berkaitan: Insiden rusuhan Parit Raja, 13 individu bebas dengan jaminan polis

Bakar suar sambil salahkan kerajaan bukti anak muda diperkotak-katik orang politik

Kejadian rusuh dan bakar flare di Batu Pahat, Mat Rempit ditahan

Maka amat tidak wajar rakyat yang menggunakan hak mereka seperti mana terkandung dalam perlembagaan terus ditekan, diugut mahupun didakwa dengan
pelbagai pertuduhan.

Sedangkan suara mereka yang sepatutnya disalurkan melalui Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri gagal diterjemahkan melalui saluran yang sepatutnya lantaran penggantungan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor, Omar Mokhtar A Manap dan Exco Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad.

Menurut mereka, dalam situasi rakyat yang begitu tertekan mutakhir ini, kerajaan wajar mengambil pendekatan lebih lunak dengan mendengar luahan dan aduan yang ingin mereka sampaikan.

”Kerajaan usah terlalu cepat mengambil tindakan kepada rakyat tatkala amalan dua darjat masih berlaku dan gagal ditangani,” kata mereka dalam kenyataan di sini.

Tambah mereka, Perikatan Nasional yang dipertikaikan keabsahan ini diingatkan agar tidak begitu angkuh ketika berdepan dengan rakyat terutama anak muda.

”Janganlah kerana ingin menutup kegagalan dalam pemerintahan, ruang untuk rakyat bersuara ditutup dan disekat kerana hashtag Kerajaan Gagal yang dimulakan di media sosial telah mendapat sambutan hangat rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette