Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Uzaidi Udanis. Foto HAFIZ SOHAIMI, 16 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) menyeru kerajaan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat iaitu perintah berkurung (lockdown) seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sehingga 7 Jun ini.

Presidennya, Uzaidi Udanis berkata, pelaksanaan itu penting kerana PKP 1.0 terbukti berkesan bagi memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Jelas beliau, walaupun berdepan impak besar namun ia hanya dilaksanakan dalam tempoh pendek sebelum rakyat dapat kembali meneruskan kehidupan dalam normal baharu seperti sediakala.

“Memandangkan laporan tinggi jangkitan dan kematian Covid-19 yang dilaporkan setiap hari, kami menyeru kerajaan untuk kembali melaksana PKP 1.0.

“Kita sedar ia akan menjadi keadaan sukar bagi kebanyakan masyarakat tetapi kita perlu berkorban daripada berdepan PKP 3.0 ini di mana orang masih bebas ke sana-sini.

“Selepas berjaya nanti, kita perlu kembali dengan mempraktikkan norma baharu pelancongan yang lebih ketat,” katanya pada sidang media secara aplikasi Zoom di sini hari ini.

Uzaidi menambah, MITA juga berharap kerajaan dapat membantu kelangsungan industri pelancongan dengan memperkenalkan moratorium pinjaman automatik dengan kadar sifar faedah.

Jelas beliau, ia boleh dilakukan menerusi bank-bank di negara ini termasuk syarikat kredit dan kewangan yang berkuatkuasa sehingga 31 Disember ini.

“Moratorium ini diberikan kepada semua pemain pelancongan individu dan syarikat yang mempunyai kemudahan pinjaman sebelum Mac 2020.

“Oleh kerana semua bank memperoleh keuntungan besar pada tahun 2020, kami berharap mereka dapat menjadi contoh korporat dalam membantu negara pada masa yang mencabar ini.

“Moratorium pinjaman ini melibatkan pinjaman sewa beli untuk kenderaan pelancongan termasuk pinjaman yang diberikan secara kredit dan memajak syarikat kepada pemain pelancongan seperti pinjaman perumahan, pinjaman sewa beli dan perniagaan,” katanya.

Pada masa sama, Uzaidi turut mencadangkan untuk mengecualikan insurans dan cukai jalan  termasuk yuran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Kata beliau, ketika ini terdapat kira-kira 9,990 bas persiaran yang berdaftar di pasaran berdasarkan pendapatan sewa minimum sebanyak RM600 sehari namun pengusaha bas mengalami kerugian sekitar RM6 juta sehari.

“Di samping itu, pengedali bas masih perlu membayar yuran insurans yang tinggi untuk kenderaan pelancongan (van & bas persiaran) yang dianggarkan daripada RM1,000 hingga RM10,000 setahun walaupun bas tidak bergerak di jalan raya.

“Oleh itu, kami ingin meminta pengecualian khas mengenai insurans dan cukai jalan termasuk bayaran Puspakom untuk semua kenderaan pelancongan berdaftar yang sah selama tiga tahun dari tahun ini hingga 2024,” katanya. – MalaysiaGazette