Orang kelainan upaya (OKU), Mohd. Soofian Ahmad bersama isterinya, Zaliah Mat Saman dan anaknya yang menghidap penyakit kegagalan hati berfungsi atau biliary atresia sejak lahir, Muhammad Syamil Ahnaf di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR –  Ibarat peribahasa, ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Begitulah nasib menimpa seorang bekas pengawal peribadi yang kini menjadi Orang Kelainan Upaya (OKU)  setelah kaki sebelahnya kudung akibat komplikasi penyakit kencing manis.

Nasib Mohd. Soofian Ahmad bertambah perit apabila anak bongsu, Muhammad Syamil Ahnaf menghidap penyakit kegagalan hati berfungsi atau biliary atresia sejak dilahirkan tiga tahun lalu.

Tiada apa-apa harapan lelaki ini kecuali dapat menyarung kaki palsu bagi membolehkan dia kembali mengatur langkah bekerja semula.

Selama ini kehidupannya mengharapkan ihsan apatah lagi isterinya, Zaliah Mat Saman, 47,  terpaksa berhenti kerja sejak awal tahun 2019 untuk menjaga anak mereka yang disahkan OKU oleh doktor.

Zaliah Mat Saman bermesra bersama anaknya yang menghidap penyakit kegagalan hati berfungsi atau biliary atresia sejak lahir, Muhammad Syamil Ahnaf di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 APRIL 2021.

Episod duka Mohd. Soofian bermula November tahu apabila kaki kirinya terpaksa dipotong secara tiba-tiba selepas sakit dan tidak dapat berjalan.

“Kaki kiri saya tidak sakit dan luka hanya tiba-tiba sakit di mana saya terus dibawa ke Hospital Kuala Lumpur. Saya macam kena gout dan pijak lantai rasa sakit. Apabila diperiksa doktor dan dibuat imbasan, saya dimaklum kaki saya perlu dipotong untuk elak komplikasi lain seperti merebak ke buah pinggang.

“Akhirnya kaki saya dipotong bawah paras lutut pada November lalu,”  katanya satu ketika ditemui MalaysiGazette di kediaman di Desa Tasik di sini baru-baru ini.

Mohd. Soofian Ahmad menggunakan tongkat untuk berjalan akibat kencing manis di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 APRIL 2021.

Mohd. Soofian mengakui keluarganya berdepan kesukaran hidup kerana dia perlu berdepan kos rawatan dan ubatan Syamil, selain menyara dua anak yang masih bersekolah.

Dia terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal peribadi sejak tiga tahun lalu kerana kerap cuti gara-gara temujanji dan Syamil kerap keluar masuk hospital untuk mendapat rawatan.

Gara-gara kesibukan itu, dia mengakui belum sempat membuat permohonan bantuan dengan Perkeso bagi urusan bantuan.

Zaliah Mat Saman bermesra bersama anaknya yang menghidap penyakit kegagalan hati berfungsi atau biliary atresia sejak lahir, Muhammad Syamil Ahnaf di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 APRIL 2021.

“Baitulmal ada memberi bantuan seperti lampin pakai buang, susu dan baby coat serta kewangan bulanan. Namun kami berdua tidak bekerja dan ada komitmen bulanan yang perlu dibayar seperti hutang rumah dan kereta.

“Sebab itu permohonan saya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak diluluskan kerana ada komitmen itu.

“Saya akui sumber kewangan memang tidak ada dan mengharapkan sumbangan ramai dan kami berjimat serta membuat simpanan namun semakin lama semakin berkurangan.

“Isteri saya dulu kerja dan terpaksa berkorban kerana sekarang anak bongsu kami perlu penjagaan rapi,” katanya yang tidak membuat persiapan 1 Syawal lalu.

Muhammad Syamil Ahnaf yang menghidap penyakit kegagalan hati berfungsi atau biliary atresia sejak lahir di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 APRIL 2021.

Mohd. Soofian sangat berharap dia dapat memiliki kaki palsu untuk kembali bekerja dan meneruskan kelangsungan hidup demi keluarganya.

Jelasnya, dalam keadaan sekarang, sukar untuk dirinya bergerak ke sana-sini apatah lagi ketika berurusan di hospital bagi rawatan anaknya.

Dia terpaksa meminta orang lain memandu kereta untuk membawa anaknya.

Sementara itu, bagi mereka yang ingin memberi sumbangan kepada dua beranak ini, boleh menghubungi talian 014- 293 8368 (Soofian) atau menerusi nombor akaun Maybank – 106062034558 atas nama Mohd. Soofian. – MalaysiaGazette

Mohd. Soofian Ahmad

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast