Arjunaidi Mohamed

SHAH ALAM – Polis Selangor telah membuka sebanyak 108 kertas siasatan berhubung laporan palsu kehilangan kad pengenalan atau MyKad yang dibuat individu dalam tempoh  Januari hingga April lalu.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, jumlah itu hampir dua kali ganda berbanding 60 kes  yang direkodkan pada 2020.

Daripada jumlah itu, 86 kes telah selesai disiasat dan dituduh di mahkamah, sementara 82 kes lagi masih dalam siasatan polis.

“Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan jumlah laporan polis palsu yang diterima berkaitan dengan kehilangan kad pengenalan.

“Siasatan polis mendapati penyebab utama laporan polis palsu dibuat kerana denda yang dikenakan bagi setiap kehilangan kad pengenalan sekiranya berpunca daripada kecuaian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, golongan itu memberi alasan kad pengenalan mereka hilang kerana dicuri, menjadi mangsa samun atau ragut, sedangkan sebenarnya kad pengenalan hilang kerana kecuaian diri mereka sendiri.

Tambah beliau, pengecualian denda hanya diberikan terhadap seseorang individu atau pengadu membabitkan kes-kes jenayah seperti kecurian, samun dan ragut.

“Saya ingin menasihati orang ramai agar tidak membuat laporan polis palsu demi kepentingan peribadi.

“Kesalahan ini didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000,” katanya.-MalaysiaGazette