Gambar fail
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan kematian tertinggi akibat Covid-19 hari ini dengan 59 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Kesemua kes kematian itu melibatkan mereka yang berusia antara 37 hingga 91 tahun.

Kebanyakan mereka mempunyai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, kanser, buah pinggang, jantung, obesiti, strok dan dislipidemia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan angka itu, jumlah kumulatif yang meninggal dunia akibat wabak tersebut meningkat kepada 2,099 kes.

Sebanyak 14 kes kematian direkodkan di Johor; Selangor (10), lapan kes di  Kuala Lumpur, enam kes di Kelantan, masing-masing empat kes di Negeri Sembilan dan Melaka, masing-masing tiga kes di Kedah, Perak, dan Terengganu, dua kes di Sarawak, serta masing-masing satu kes di Sabah dan Pulau Pinang.

“Manakala, kes sembuh baharu pula mencatatkan bilangan 3,916 menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih daripada Covid-19 berjumlah 440,032 kes.

“Terdapat 587 kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 330 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Hisham turut memaklumkan jumlah kes aktif yang direkodkan bertambah kepada  50,171 kes.

Terdahulu, data mengenai perkembangan terkini Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan kes harian baharu hari ini berjumlah 6,806 kes merupakan kes positif tertinggi sejak negara dilanda wabak tersebut. – MalaysiaGazette