Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kerajaan melucut hak wang tunai sebanyak RM114 juta yang disita oleh polis pada tahun 2018 dari Pavilion Residences.- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kerajaan melucut hak wang tunai sebanyak RM114 juta yang disita oleh polis pada tahun 2018 dari Pavilion Residences.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) gagal membuktikan wang tunai  itu mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malah katanya, pendakwaan juga tidak berjaya membuktikan wang yang telah disita itu  hasil aktiviti penyewelengan pecah amanah (CBT).

Jelas beliau, tiada bukti yang dikemukakan kepada mahkamah bagi menunjukkan perkaitan antara dana yang diseleweng daripada 1MDB dengan wang tunai yang disita dari Pavilion Residences.

Bagaimanapun Muhammad Jamil tidak membuat perintah berbangkit (consequential order) dalam keputusan lisannya sama ada RM114 juta itu harus dikembalikan atau tidak.

“Saya dengan ini menolak permohonan untuk pelucuthakan wang tunai RM114 juta yang telah disita pada 2018,” katanya hari ini.

Sebelum ini, pendakwaan memfailkan permohonan itu bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa kerana didakwa terbabit dengan skandal dana 1MDB.

Dana tersebut adalah sebahagian daripada wang tunai, perhiasan dan aset lain berjumlah RM680 juta yang dirampas pada tahun 2018 dari unit kondominium di Pavilion Residences, Kuala Lumpur, yang dimiliki oleh Obyu Holdings Sdn Bhd.

Prosiding mahkamah hari ini hanya berkaitan dengan wang RM114 juta itu dan bukan baki keseluruhan RM680 juta aset dirampas yang masih menunggu perbicaraan dan tarikhnya yang belum ditetapkan lagi.

Obyu adalah satu-satunya responden dalam saman pelucutan berkaitan 1MDB manakala UMNO dan bekas Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak antara yang memohon untuk menjadi pihak ketiga bagi menuntut aset dan wang yang disita oleh pihak berkuasa dari Pavilion Residence di Kuala Lumpur pada tahun 2018. -MalaysiaGazette 

1 Komen

  1. Alhamdulillah…semakin terbuka pekong fitnah jahat PH dan pewarisnya PN dengan Medey sbg bapa pemfitnah terbesar dibantu oleh Mudin ( bukan nama sebenar) sehingga menjahanamkan negara ni…

Comments are closed.