Selebriti, Neelofa bersama suaminya yang juga pendakwah selebriti, Haris Ismail atau dikenali sebagai PU Riz hadir ke mahkamah bagi pendakwaan atas kesalahan merentas negeri untuk membeli karpet di Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan semalam.Foto AFFAN FAUZI.

KUALA LUMPUR – Kemarahan netizen terhadap selebriti, Neelofa dan keluarganya semakin memuncak sehinggakan satu kempen dalam talian dibuat supaya dia dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukannya.

Berjudul ‘Langgar SOP: PDRM, Penjarakan Neelofa Segera’, seorang individu dipercayai telah mewujudkan satu petisyen di laman web Change.org yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap selebriti berniqab itu.

Neelofa, suami dan keluarganya telah terpalit dengan empat isu termasuklah didakwa melanggar SOP ketika majlis perkahwinan, merentas negeri ke Langkawi dan Negeri Sembilan dan yang terbaru viral video Neelofa dan keluarga melanggar SOP Aidilfitri.

Berikut kesalahan-kesalahan melanggar SOP yang Neelofa dan keluarganya telah dilakukan disenaraikan dalam petisyen itu

1. Majlis Perkahwinan Neelofa & PU Riz di Grand Hyatt – Mac 2021 (tindakan telah diambil)

2. Honeymoom di Langkawi – Mac 2021 (tiada tindakan undang-undang diambil)

3. Rentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan tanpa sebab kukuh, sebaliknya ke kedai carpet – Mei 2021 (tiada tindakan undang-undang dikenakan)

4. Neelofa dan seluruh ahli keluarga berkumpul di rumah ketika hari raya Aidilfitri – Mei 2021 (langgar SOP Aidilfitri, tiada tindakan undang-undang diambil)

Berdasarkan kesalahan-kesalahan berulang ini, kami desak Kerajaan Malaysia & Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk Neelofa segera dipenjarakan tanpa kompromi sebagai isyarat jelas kepada Kerajaan untuk tidak amalkan undang-undang double standard kepada VVIP & orang kenamaan.

Setakat artikel ini ditulis, sudah hampir 60,000 orang yang telah menandatangi dan bersetuju dengan isi kandungan petisyen tersebut. – MalaysiaGazette