logo polis
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat penyedia khidmat pelanggan dalam talian kepada sebuah syarikat aplikasi e-dagang  di Cyberjaya dekat sini didakwa telah mencabul prosedur operasi standard (SOP)  Covid-19 dan menganiaya pekerjanya.

Menurut sumber, salah seorang daripada lelaki berusia 25 tahun yang bekerja di syarikat itu mendakwa majikan didakwa telah memaksa dua pekerjanya yang positif Covid-19 bekerja di pejabat tanpa membenarkannya untuk kuarantin di rumah.

Alasannya, simptom kedua-dua pekerja terbabit hanya selesema dan tidak dirisaukan.

Menurut lelaki terbabit, semasa berada di rumahnya pada hari cuti,  dia membaca perkongsian mesej mengenai salah seorang rakan sekerja rapat disahkan positif sebelum berkongsi dalam kumpulan WhatsApp syarikatnya untuk mendapatkan kesahihan serta pengesahan majikan.

Namun dakwanya salah seorang ketuanya meminta perkara itu tidak diperbesarkan termasuk isu seorang kakitangan wanita yang baru sebulan bekerja disahkan positif Covid-19.

“Apabila saya tanya wanita itu kenapa memasuki pejabat sedangkan disahkan positif Covid-19, pekerja baru itu memaklumkan bahawa pihak pengurusan majikan mengarahkan dia untuk meneruskan kerja di pejabat kerana selesema sekadar simptom biasa dan tidak perlu dirisaukan walaupun sijil keputusan ujiansudah dikemukakan kepada  majikan.

“Saya kemudian menyoal team leader kenapa majikan tidak mengemaskini sebarang maklumat mengenai perkembangan kesihatan staf dalam pejabat, dia pula mendakwa belum ada sebarang arahan atau pengesahan dari pihak  majikan sambil meminta saya tidak membesarkan mesej-mesej berkaitan status pekerja Covid-19 itu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Lelaki itu kemudiannya risau terhadap mungkin berlaku penularan terhadapnya dan rakan-rakan lain yang bekerja di dalam pejabat itu dan terus meminta syarikat untuk memberikan cuti kecemasan kepadanya untuk mengambil ujian calitan di klinik pada Isnin lalu.

Namun katanya, majikannya menolak permintaan itu dan memintanya kerja separuh lagi selepas selesai ujian calitan tanpa kuarantin dan jika tidak ia direkodkan sebagai tidak hadir kerja.

Bagaimanapun lelaki itu membuat laporan polis di Balai Polis Cyberjaya selepas menjalani ujian calitan di klinik berhampiran tempat tinggalnya serta aduan rasmi kepada email KKM.

Laporan polis dibuat kerana lelaki berkenaan bimbang dan tidak berpuashati dengan sikap majikannya yang didakwa mengabaikan tanggungjawab  meletakkan nyawa pekerja dalam risiko jangkitan Covid-19.

Lelaki itu turut mendakwa majikannya gagal mematuhi SOP yang diarahkan kerajaan apabila tiada sistem sanitasi yang teratur disediakan untuk pekerjanya di pejabat.

Malah dakwanya majikannya menggunakan khidmat tukang sapu warga Indonesia untuk membuat proses sanitasi di pejabat bukan perkhidmatan yang bertauliah dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sejurus laporan dibuat, saya terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan diambil  keterangan lanjut oleh pegawai penyiasat sebelum saya menerima mesej dalam telefon bimbit keputusan negatif Covid-19 dari klinik melalui mesej telefon.

“Bagaimanapun, oleh kerana menjadi kontak rapat rakan sekerja yang positif, doktor mengeluarkan sijil dan arahan saya perlu kuarantin kendiri sehingga 22 Mei ini di rumah untuk melihat perkembangan seterusnya.

“Apabila saya memaklumkan arahan kuarantin kendiri, majikan saya berdegil dan meminta saya masuk pejabat dan tidak  membenarkan kerja dari rumah sambil menegaskan kos calitan tidak akan ditanggung pihaknya,” dakwanya.

Selepas tindakannya, beberapa pekerja lain di pejabatnya mula bimbang kerana mereka juga kontak rapat kepada salah seorang positif Covid-19 dan menggesa majikan membenarkan mereka bekerja dari rumah.

Akhirnya majikan mereka akur dan membenarkan pekerja bekerja dari rumah sejak semalam namun ada beberapa pekerja masih diarahkan masuk pejabat.

Lelaki  itu juga kesal dengan sikap majikannya yang mengarahkan pekerja tidak perlu menjalani ujian calitan sekiranya tidak mempunyai simptom sedangkan ada dalam kalangan mereka disahkan positif walaupun tidak bergejala.

Selepas itu, dia menyerahkan surat berhenti kerja serta merta kerana tidak lagi sanggup mengambil risiko bekerja di syarikat yang melanggar SOP Covid-19.

“Saya mahu majikan itu disiasat dan diambil tindakan oleh polis, KKM kerana mereka langsung tidak mementingkan kesihatan dan keselamatan pekerja sebaliknya mengutamakan keuntungan semata-mata.

“Sejak saya menerima laporan beberapa rakan sekerja positif Covid-19 ada diantaranya bekerja di pejabat walaupun demam dan muntah teruk.

“Saya tidak kisah berhenti kerja dari syarikat yang meletakkan nyawa pekerja dalam risiko jangkitan kerana rasa lebih selamat duduk di rumah dalam keadaan kritikal Covid-19 dengan kes lebih 6,000 sejak beberapa hari kebelakangan ini termasuk penularan di Lembah Klang.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan laporan diterima pihaknya dan telah menyiasat berhubung insiden itu.

“Saya boleh sahkan ada menerima laporan polis daripada lelaki itu mengenai aduan pekerjanya dipaksa masuk kerja walaupun dikesan positif Covid-19 dan ada kes kontak rapat,” katanya.

Bagaimanapun polis, katanya, sudah merujuk kes itu kepada KKM untuk tindakan sebab mereka mempunyai kuasa bawah Akta 342.- MalaysiaGazette