Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Negara Islam perlu menggunakan kekuatan yang dimiliki selain menyedari kelemahan masing-masing dalam menyusun strategi menentang kezaliman Israel ke atas Palestin, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap menerusi platform Skype dalam program Dialog Tiga Penjuru terbitan stesen penyiaran Astro Awani berkata, negara Islam perlu sedar bahawa mereka tidak mempunyai kekuatan dari segi ketenteraan untuk berhadapan dengan Israel.

“Yang kita (negara Islam) ada ialah kekuatan kewangan. Minyak negara Islam kawal. Bekalan minyak dunia. Jadi lawan (Israel) menggunakan apa yang ada. Jangan tambah musuh dengan meletupkan bom di negara-negara Eropah. Itu buat orang marah,” katanya.

Dr Mahathir berkata, orang Islam perlu berhenti berfikir untuk membalas dendam di atas perbuatan Israel ke atas penduduk Palestin, tetapi menggunakan bahan mentah yang dimiliki untuk memberi tekanan ke atas Israel.

Beliau berkata, Israel akan tawan seluruh Palestin dan tidak akan peduli masyarakat dunia, kerana mereka dilindungi kuasa besar.

Seorang lagi ahli panel program berkenaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, turut bersetuju dengan Dr Mahathir bahawa umat Islam tidak harus mencari musuh, dengan melakukan pengeboman di kedutaan, hotel dan tempat awam.

“Ini perbuatan mereka yang jahil agama. Umat Islam perlu diberi kefahaman tentang perkara ini,” katanya.

Mengulas mengenai negara-negara tertentu yang menjalinkan hubungan dengan Israel seperti Emiriah Arab Bersatu, Sudan dan Bahrain beliau berkata, usaha akan dilakukan untuk melobi negara terbabit dengan mengadakan pertemuan dengan duta negara berkenaan secara dalam talian, untuk bersatu menentang kezaliman ke atas Palestin.

Seorang lagi ahli panel dalam program berkenaan, Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford Datuk Dr Afifi Al-Akiti berkata, negara Islam perlu mencontohi Ireland yang merupakan sebuah negara barat yang paling anti Zionis.

“Ireland mempunyai polisi dalaman memboikot dan menyekat perdagangan dengan Israel, selain kerajaannya sendiri dan bukannya pertubuhan bukan kerajaan negara tersebut yang menghantar bantuan terus ke Gaza. Antara bantuan yang dihantar ialah kewangan, doktor dan jurutera, untuk membangunkan semula infrastruktur di Palestin,” katanya.

Afifi berkata, mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan Israel adalah tidak memadai, dan antara tindakan yang boleh dilakukan ialah mengisytiharkan Israel sebagai sebuah negara apatheid.

— BERNAMA

 

1 Komen

  1. Strategi2 bantuan kepada Palestine juga kena berubah dengan membekalkan senjata2 canggih, peluru2 anti tank, peluru2 anti jet pejuang musuh juga dron2 canggih. Ianya hanyalah bertujuan untuk mempertahan diri dari serangan2 musuh yang sudah dijangkakan akan berlaku lagi pada masa2 hadapan!

Comments are closed.