Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Nilai eksport minyak sawit negara meningkat sebanyak 26.9 peratus
iaitu RM17.12 bilion untuk Januari hingga April 2021.

Peningkatan berpunca daripada kenaikan harga minyak sawit di pasaran dunia.

Melalui petunjuk prestasi ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yakin sasaran eksport sawit sebanyak RM75 bilion tahun ini mampu dicapai, termasuk program-program baharu kementerian itu.

“Dengan sokongan program-program baharu KPPK iaitu inisiatif tambahan dalam bentuk geran padanan sebanyak RM20 juta melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang memanfaatkan 65 Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) dan geran padanan RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi serta automasi,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, program-program ini akan meningkatkan pembelian jentera dan amalan mekanisasi dalam industri komoditi itu.

“Ia disokong dengan penglibatan KPSM secara aktif dan dijangka menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada semua pengusaha sawit termasuk pekebun kecil di seluruh negara,” ujar Khairuddin.

Meskipun cabaran pandemik Covid-19 dijangka berterusan sepanjang tahun ini namun menurut Khairuddin, KPPK akan terus gigih mendepaninya dalam usaha membangunkan industri agrikomoditi yang merupakan penyumbang signifikan kepada ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar.

Industri minyak sawit Malaysia merupakan sektor ekonomi utama yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada 2020, industri ini menyumbang sejumlah RM73.25 bilion daripada hasil eksport dengan sumbangan KDNK sebanyak 3.6 peratus.

Malaysia juga menyumbang sebanyak 26 peratus kepada pengeluaran minyak sawit dunia dan 34 peratus kepada jumlah eksport minyak sawit dunia pada tahun 2020. -MalaysiaGazette