Orang awam beratur menunggu giliran untuk mengambil vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca pada program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan kesahihan dakwaan yang tular pada media sosial bahawa jumlah dos vaksin yang diberikan antara dua individu tidak sama.

Ketua Pemuda PH, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, dakwaan tersebut telah menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat.

Justeru katanya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin, perlu memberi penjelasan respon dan bertindak terhadap isu ini.

“Kita menggesa agar Menteri Kabinet yang bergaji puluhan ribu ini buat kerja dengan cepat bagi mengelakkan pelbagai presepsi awam timbul,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, agak aneh sekiranya individu seperti yang tular pada akaun Twitter diarahkan untuk menerima baki dos yang sepatutnya diambil kerana tidak menerima dos yang mencukupi pada hari dia menerima vaksin.

Shazni mendakwa, situasi ini boleh menjejaskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Namun jika benarlah seperti dakwaan pemilik akaun twitter berkenaan bahawa beliau diarahkan semula untuk menerima baki dos yang sepatutnya diambil, maka perkara ini tersangat aneh dan tidak boleh diterima akal.

“Jika dos yang diberikan kurang daripada sepatutnya, maka peratusan untuk penerima vaksin untuk dijangkiti Covid-19 masih lagi tinggi. Hal ini akan memberi satu imej yang buruk kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,”tambahnya. – MalaysiaGaze tte