Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman keluar selepas memberi keterangan mengenai video solidariti bersama Ganapathy pada akaun instagram miliknya di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Tindakan polis merampas telefon bimbit milik Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semasa mengambil keterangan pada pagi ini bertujuan untuk siasatan.

Timbalan Pengarah  Jabatan Siasatan Jenayah Bukit (Aman Siasatan/Perundangan), Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, telefon bimbit Syed Saddiq jenis Iphone 11 Pro Max dan kad Sim Maxis akan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisa data dan kandungannya.

“Biar polis jalankan siasatan dahulu.

“Saya boleh sahkan bahawa kita juga telah merekod keterangan Syed Saddiq dan beliau telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 10 pagi hari ini (Sabtu),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Azman, pihaknya juga telah menerima satu laporan polis pada 29 April lalu berhubung rakaman video di Instagram yang dimuat naik oleh Syed Saddiq mengenai  isu kematian A.Ganapathy yang mati semasa dalam tahanan polis.

Ujar beliau, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi
dan Multimedia 1998 kerana Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam.

Katanya, Syed Saddiq diminta hadir bagi siasatan berhubung klip video berdurasi 57 saat bertajuk *#JusticeforGanapathy yang dimuat naik di laman Instagram “syedsaddiq” dan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Syed Saddiq yang ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini selepas selesai dirakam keterangan oleh pegawai penyiasat dari Bukit Aman mempersoal tindakan polis yang merampas telefon bimbitnya semasa proses rakam keterangan.

Beliau berkata, polis tidak seharusnya merampas telefon bimbitnya memandangkan siasatan hanya membabitkan hantaran beliau dalam Instagramnya mengenai penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Aduan Salah laku Polis (IPCMC) berikutan kematian penjual susu lembu itu.

Sementara itu, Syed Saddiq mendakwa tindakan yang dikenakan terhadapnya itu bermotifkan politik. – MalaysiaGazette