Former Deputy Prime Minister cum President of UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 23 JUNE 2020. money laundering criminal breach of trust corruption Yayasan Akalbudi foundation Paul Wong Sang Woo donation RM10 million
Former Deputy Prime Minister cum President of UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 23 JUNE 2020.

SHAH ALAM – Perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), akan bermula di Mahkamah Tinggi di sini, esok.

Perbicaraan akan didengar di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa pada jam 9 pagi, dengan pendakwaan dijangka memanggil dua atau tiga saksi untuk memberikan keterangan.

“Ya, perbicaraan akan berjalan esok. Pihak kami dijangka memanggil dua atau tiga saksi,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran yang akan mengetuai pasukan pendakwaan, ketika dihubungi.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh pula akan mewakili Ahmad Zahid, 68.

Sebelum ini, Raja Rozela memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil 15 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Ia adalah perbicaraan kedua Presiden UMNO itu selepas kes 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd.

Suapan berkenaan didakwa sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika itu, melanjutkan kontrak syarikat terbabit sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018 mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, telah mendapatkan untuk dirinya suatu benda berharga, iaitu wang tunai SGD1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights antara Jun 2015 dan Oktober 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette