Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kurang 48 jam sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 lebih ketat dilaksanakan di seluruh Semenanjung Malaysia dan Labuan, terdapat satu kawasan akan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), manakala satu lagi ditamatkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan baharu yang dikenakan PKPD itu melibatkan Taman Abaka, Ladang Table, Tawau, Sabah berkuatkuasa 25 Mei sehingga 7 Jun 2021.

“Sehingga kini, terdapat 37 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil daripada 135 ujian saringan yang telah dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Berlaku peningkatan kes amat ketara dalam masa singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu satu lagi kawasan iaitu Kampung Keramat, Semporna, Sabah yang sebelum ini menjalani PKPD pula ditamatkan mengikut jadual iaitu berkuatkuasa 24 Mei 2021.

“Sepanjang tempoh itu, KKM telah melakukan 138 ujian saringan dan 19 individu disahkan positif Covid-19.

“KKM juga mengesahkan trend kes menunjukkan penurunan dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah dirawat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette