Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai berwaspada dan jika telah menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada ID Penghantar ‘GOV’ yang kini tular di media sosial.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menafikan tuduhan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung arahan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk merampas telefon mudah alih milik beliau.

SKMM selaku agensi teknikal dalam membantu siasatan pihak PDRM tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk merampas bahan bukti yang diperlukan PDRM untuk melengkapkan siasatan mereka.

Sebaliknya, SKMM akan terus mengemukakan bantuan dan syor teknikal, sesuai dengan keperluan siasatan, secara telus tanpa sebarang agenda terlindung termasuk agenda politik.

Dalam pada itu, SKMM juga menafikan wujudnya “unit khas” dalam SKMM untuk tujuan politik, gangguan politik, kempen sabotaj dan lain-lain, seperti mana yang didakwa oleh Syed Saddiq dalam kenyataan beliau.

Untuk makluman, SKMM berkata, suruhanjaya itu berperanan untuk mengawal selia peraturan industri berdasarkan kuasa yang termaktub di dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (ASKMM) 1998 dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 serta susunan organisasi SKMM
dibentuk dan disusun sesuai dengan peranan kawal selia yang dilaksanakan oleh SKMM.

Sehubungan itu, SKMM menjemput Syed Saddiq untuk hadir ke suruhanjaya ini untuk memberikan penerangan penuh mengenai peranan dan carta organisasinya yang juga boleh didapati di laman sesawang rasmi. – MalaysiaGazette