Kenyataan media Neelofa.

KUALA LUMPUR – Selebriti popular, Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz terus menjadi perhatian netizen apabila dituduh menaiki kenderaan melebihi had penumpang selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, pagi ini.

Ia sekali gus didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Neelofa memuat naik kenyataan bagi menjelaskan keadaan yang kecoh diperkatakan di laman Twitter.

Menjelaskannya, Neelofa, 32, berkata, dia, PU Riz, 26, dan peguamnya, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar tidak menaiki kenderaan yang sama ketika memberi keterangan di IPD Seremban.

“Kami hanya menumpangkan Ahmad Zaharil daripada balai polis ke mahkamah yang terletak bersebelahan dengan jarak sekitar 50 meter. Kenderaan peguam diletakkan di ruangan parkir mahkamah. Saya dan peguam tidak hadir ke IPD Seremban dengan menaiki kenderaan yang sama.

“Kami sudah menghubungi IPD Seremban dan mereka sedia maklum mengenai perkara ini. Saya, Haris dan pemandu pulang ke Kuala Lumpur dengan kenderaan kami, manakala peguam pula pulang ke kediamannya dengan memandu kenderaannya,” katanya.

Neelofa menambah, polis boleh meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika dia menurunkan peguamnya di perkarangan mahkamah dan di luar IPD.

Dengan itu, Neelofa berharap orang ramai jelas dan tidak memanjangkan isu berkenaan.

“Diharapkan, penjelasan ini dapat mengelakkan salah faham. Sekian terima kasih,” katanya.

Kerajaan kini mengehadkan hanya tiga orang boleh berada dalam satu kereta termasuk pemandu bermula 12 Mei hingga 7 Jun ini. Ia adalah SOP susulan pelaksanaan PKP 3.0. – MalaysiaGazette