Foto The Independent.

LONDON –  Dua slot terakhir layak secara automatik ke Liga Juara-Juara musim depan akhirnya menjadi milik Liverpool dan Chelsea selepas masing-masing menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat ketiga dan keempat.

Dalam aksi terakhir liga yang berakhir sebentar tadi, Liverpool di bawah bimbingan Jurgen Klopp melakar kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace di Anfield, sekali gus melonjak ke tangga ketiga dengan mengumpul 69 mata.

Dua gol skuad The Reds dalam perlawanan itu dijaringkan Sadio Mane pada minit ke-36 dan 74.

Sementara itu, Chelsea yang dikejutkan dengan kekalahan 1-2 di tangan Aston Villa, nyata bernasib baik apabila pencabar terdekat mereka, Leicester City turut tewas 2-4 kepada Tottenham Hotspur.

Keputusan itu menyaksikan The Blues mengakhiri liga musim ini di tangga keempat dengan 67 mata manakala Leicester kelima dengan 66 mata.

Leicester bagaimanapun layak beraksi dalam saingan Liga Europa bersama West Ham United yang mengakhiri kempen di tempat keenam.

City menutup tirai kempen dengan penuh bergaya apabila membelasah Everton 5-0 manakala United melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Wolverhampton Wanderers.

Skuad bimbingan Pep Guardiola menamatkan aksi musim ini dengan mengutip keseluruhan 86 mata manakala United yang berada di kedudukan kedua dengan 74 mata. – MalaysiaGazette