Selebriti, Neelofa bersama suaminya yang juga pendakwah selebriti, Haris Ismail atau dikenali sebagai PU Riz berjalan keluar selepas hadir ke mahkamah bagi pendakwaan atas kesalahan merentas negeri untuk membeli karpet di Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 20 MEI 2021.

NILAI – Polis masih menunggu arahan tindakan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kes usahawan dan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan dan merentas negeri ke Nilai, Seremban 2 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superinden Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihak belum menerima arahan daripada AGC selepas kertas siasatan diserahkan petang Jumaat minggu lalu.

“Berhubung isu pergerakan rentas negeri ke Nilai, kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan berkaitan dengan perkara itu selaras Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Masih belum ada perkembangan baharu daripada AGC,” katanya secara ringkas kepada MalaysiaGazette petang tadi.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan polis mengambil tindakan lambat dalam menyiasat selebriti wanita itu yang didakwa melakukan kesalahan merentas negeri.

Mohd Fazley sebagai mengulangi kenyataannya menafikan dakwaan kononnya polis lambat menyiasat selebriti berkenaan dalam soal kesalahan merentas negeri.

“Sebenarnya saya sudah jelaskan dalam kenyataan minggu lalu bahawa Neelofa telah disiasat sejak awal lagi dengan kesalahan SOP tidak mengimbas kod MySejahtera dan suhu selepas dia merentas negeri bersama suaminya dan pergi membeli karpet di Nilai 3 pada 2 Mei lalu.

“Dalam hal ini soal polis lambat menyiasat tidak timbul langsung sebaliknya polis sudah siasat lebih awal lagi,” katanya lagi.

Pada 20 Mei lalu, Neelofa dan suaminya telah hadir ke Mahkamah Seremban untuk menghadapi pertuduhan.

Muhammad Haris didakwa atas dua pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3 pada 2 Mei lepas.

Noor Neelofa pula didakwa tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Pasangan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya sebutan semula kes ditetapkan 4 Jun ini dan kedua-dua tertuduh dibenarkan jamin.-MalaysiaGazette