Foto Instagram Michael Ang.

KUALA LUMPUR – Pengarah dan penerbit, Michael Ang menggesa rakyat Malaysia supaya mengamalkan ‘self lockdown‘ memandangkan jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 yang mencecah 7,000 jangkitan, semalam.

Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Michael turut meluahkan rasa simpatinya kepada petugas barisan hadapan.

“Tahniah rakyat Malaysia! Tercipta satu lagi rekod dengan 6,976! Sikit lagi 7,000! Apa lagi, tunjukkan anda boleh! Terus keluar berjalan-jalan dan ‘yak yak yeh’ (berseronok) dan tak payah ikut prosedur operasi standard (SOP)!

“Kau orang tak tengok ke video petugas barisan hadapan cuba selamatkan kesakitan Covid-19 di pusat kuarantin? Jangan pentingkan diri sendiri! Kasihan petugas barisan hadapan. Jangan sampai mereka putus asa!” tulisnya.

Menerusi satu hantaran lain, Michael juga menjawab pertanyaan netizen di Twitter yang menyatakan bahawa tidak semua orang boleh melakukan ‘self lockdown’.

“Orang bekerja pun boleh amalkan ‘self lockdown‘ iaitu pergi dan balik kerja sahaja. Bungkus makanan dari rumah, tak payah keluar makan tengah hari dan jaga SOP di pejabat!

“Sudah-sudahlah dengan alasan tak boleh ‘lockdown’ sebab kerajaan dan tak bantu dan lain-lain. Takkan nak suap kau orang sampai masuk kubur!” tulisnya.

Kes jangkitan semalam membabitkan 6,971 kes jangkitan tempatan dan lima kes import manakala kes kematian baharu untuk hari ini mencatat angka 49 kes. – MalaysiaGazetet