Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 60 kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah pesakit yang meninggal dunia akibat wabak tersebut meningkat kepada 2,369 kes.

Sejumlah 15 kematian dilaporkan di Selangor, Johor (10), masing-masing enam kes di Sarawak dan Kedah; lima kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,; tiga kes di Sabah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan; dua kes di Negeri Sembilan dan Melaka serta masing-masing satu kes di Pahang dan Terengganu.

“Sebanyak 726 kes kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 373 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, bagi kes sembuh baharu pula, sebanyak 3,789 kes pulih menjadikan jumlah kumulatif yang sembuh daripada Covid-19 iaitu 525,889 kes.

Terdahulu, Noor Hisham memaklumkan Malaysia terus merekodkan kenaikan kes jangkitan Covid-19 dengan 7,289 kes setakat jam 12 tengah hari tadi berbanding 6,509 semalam.

Ia merupakan kes tertinggi harian terbaharu dengan Selangor masih mengekalkan rekod jangkitan tertinggi kepada 2,642 kes, kenaikan 593 kes berbanding semalam.

Daripada jumlah kes baharu tersebut, sebanyak 7,285 adalah daripada penularan tempatan, manakala empat lagi kes import.

Noor Hisham turut memberitahu, terdapat 63,458 kes aktif dengan kebolehjangkitan masih direkodkan setakat ini. – MalaysiaGazette