Aidil Sharin Sahak. Foto Facebook Kedah Darul Aman FC.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak, mengakui latihan secara berpusat Camp Based Training ini sebagai sesuatu yang bermanfaat mengukuhkan lagi ikatan sesama pemain sebelum ke Piala AFC pada penghujung Jun ini.

Tambahnya, situasi itu adalah pertama kali buat dirinya bersama pemain-pemain lain kerana mereka dapat berkumpul untuk satu jangka masa lama malah akan membuka ruang lebih banyak perbincangan sesama mereka dalam mengukuhkan lagi kekuatan pasukan.

“Kami sekadar menjalani latihan selama dua minggu secara dalam talian dan apabila mendapat perkhabaran ini, saya berasa lega biarpun diakui ini kali pertama saya akan ke Baling, tidak banyak yang saya ketahui bagaimana keadaan di sana.

“Namun, situasi ini baik kepada pemain kerana mereka boleh lebih fokus sepanjang tinggal bersama di sana dan saya rasa lebih banyak ruang mampu dimanfaatkan seperti sesi video serta perbincangan dari hati ke hati bersama pemain.

“Cuma bagi mereka yang berkeluarga dan baharu sahaja mendirikan perkahwinan seperti Ifwat Akmal dan Fayadh Zulkifli, mereka kena cepat sesuaikan diri untuk berjauhan seketika dengan orang tersayang tetapi saya yakin mereka boleh selepas beberapa hari tinggal di sini, ” katanya.

Semalam, KDA FC  mendapat lampu hijau daripada Malaysia Football League (MFL) untuk mengadakan latihan secara berpusat Camp Based Training di Stadium Mini Baling pada hari ini.

KDA FC menjadi pasukan kedua selepas Terengganu FC (TFC) yang mendapat kelulusan MFL pada Isnin bagi mengadakan Camp Based Training dengan memilih Kem Pengakap Tengku Mohd Ismail sebagai tempat penginapan pemain bagi menjalani latihan.

Perkara ini selaras dengan pengumuman MFL pada 19 Mei lalu yang membenarkan pasukan-pasukan Liga Malaysia menjalani sesi latihan secara Camp Based Training sepanjang penguatkuasaan PKP dilaksanakan. – MalaysiaGazette