Gambar hiasan

TARIKH 16 Mei suatu tarikh yang tidak asing lagi bagi masyarakat Malaysia, khasnya bagi warga pendidik. Ianya merupakan tarikh yang diisytiharkan sebagai Sambutan Hari Guru Kebangsaan.

Umum mengetahui jasa dan pengorbanan guru bukan sekadar mengajar, malah
memberikan didikan serta contoh tauladan, amatlah besar sahamnya dalam kehidupan
sehari-hari kepada anak-anak bangsa.

Berikutan tugas dan tanggungjawab seorang guru dilihat sangat menyeluruh dalam
mendidik para pelajar hari ini, adalah tidak wajar jika seratus peratus tugas mendidik serta mentarbiah para pelajar diletakkan di pundak para guru sepenuhnya.

Ibu bapa pendidik pertama anak-anak

Harus diingat, tarbiah anak-anak perlu bermula dari rumah. Ibu dan bapa seharusnya
menjadi guru pertama anak-anak dan rumah tangga kita sewajarnya menjadi markas induk dalam urusan pentarbiahan anak-anak seperti yang disebut dalam pepatah Arab iaitu "Al-Umm al-madrasah al-Ula" yang bermaksud, “Ibu adalah madrasah (sekolah) pertama bagi anak-anaknya.”

Mengapa dikatakan ibu dan bapa adalah guru pertama anak-anak? Ini kerana
perkembangan anak-anak harus dilihat secara utuh yang mencakupi perkembangan fizikal, mental, emosi dan sosial mereka.

Perkembangan ini tidak berlaku secara serentak, tetapi ianya berlaku secara bertahap. Kit
tidak wajar menyempitkan skop pembelajaran hanya melalui proses keluar masuk kelas dan hadir serta pulang dari sekolah semata kerana proses pembelajaran anak-anak kita
sebenarnya bermula lebih awal dari itu.

Mereka bermula melalui pembelajaran tidak formal dengan meniru tingkah laku ibu bapa,
mengamati keadaan sekeliling serta mengeksplorasi dunia sekeliling. Bapa adalah susuk tubuh yang seharusnya memainkan peranan aktif dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak. Dalam al-Quran, banyak sekali kisah-kisah yang dirakamkan mewakili situasi bapa dan anak antaranya kisah Nabi Ibrahim dan Luqman al-Hakim.

Lihatlah bagaimana Luqman al-Hakim mendidik anaknya. Budaya memberikan nasihat
subur dalam keluarga beliau. Inilah salah satu metodologi yang patut diterapkan dalam
setiap keluarga pada hari ini. Luqman al-Hakim mendidik anaknya dengan mutiara nasihat yang amat berguna, antaranya seperti yang dirakamkan dalam Surah Luqman ayat 13 bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya, "Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”

Pelajaran utama kepada anak

Sebagai umat Islam, pelajaran pertama yang harus diterapkan dalam jiwa dan pemikiran
anak-anak adalah ilmu mengenal Allah (Tauhid). Anak-anak perlu kenal siapa penciptanya
supaya mereka sentiasa tunduk patuh dan menjalani hidup mereka sebagai seorang hamba.

Setelah anak-anak mengenal Allah SWT, kenalkan pula kepada mereka dengan akhlak
kerana kemuliaan akhlak merupakan matlamat utama bagi ajaran Islam seperti yang
disebutkan dalam buku ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ tulisan Ustaz Fathi Yakan.

Ini dikukuhkan lagi dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya aku
diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (Hadis Riwayat Baihaqi). Pendidikan akhlak juga perlu diterapkan kepada anak-anak pada awal usia lagi kerana
penerapan akhlak pada usia sebegini merupakan asas yang akan menentukan keberhasilan seseorang sepanjang hayat mereka.

Penerapan akhlak pada usia dini membantu membentuk pola fikir serta tingkah laku anak-anak yang bakal mereka gunakan apabila dewasa kelak. Setelah itu, ajarkan kepada anak tentang ibadah kerana dalam Islam, ibadah merupakan kemuncak kepada sifat kepatuhan dan kerendahan kepada Allah SWT sepertimana firman-Nya dalam Surah Adz-Dzaariyat ayat 56 yang bermaksud, “Dan tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu.”

Keluarga sebagai juzuk utama perkembangan pendidikan anak-anak

Keluarga merupakan kelompok sosial terkecil dalam masyarakat. Sebagai sistem sosial
terkecil, keluarga memiliki pengaruh luar biasa dalam hal pembentukan karakter setiap
individu. Bagi setiap ahli keluarga (suami, isteri dan anak-anak) mempunyai proses
sosialnya supaya dapat memahami, menghayati budaya yang berlaku dalam masyarakatnya.

Pendidikan dalam keluarga sangat penting dan merupakan tunjang utama pembangunan
karakter bagi seorang anak. Kualiti seseorang dilihat dari sudut bagaimana dia dapat
menempatkan dirinya dalam pelbagai situasi.

Dalam keluarga, seorang anak sepatutnya dapat belajar bersosialisasi, memahami,
menghayati dan merasakan segala aspek kehidupan yang tercermin dalam masyarakat.
Nilai-nilai yang baik sepatutnya diterapkan kepada anak-anak melalui interaksi sehari-hari
bersama ahli keluarga.

Jika nilai-nilai yang baik diterapkan dalam kehidupan seharian, maka nilai itulah yang bakal dibawa keluar oleh anak-anak dalam hidup bermasyarakat. Tidak dapat tidak untuk kita mengakui bahawa rumah atau keluarga mempunyai peranan tanggungjawab nombor satu dalam mendidik anak-anak sehingga ada disebutkan dalam hadis yang bermaksud, “Cukuplah seseorang berdosa dengan mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Kerjasama antara rumah, sekolah dan masyarakat untuk kelangsungan pendidikan

“It takes a village to raise a child” adalah peribahasa Afrika yang telah diterjemahkan ke
bahasa Inggeris ini memberikan gambaran yang sangat realistik kepada kita tentang kerjasama yang perlu dimainkan oleh tiga institusi utama iaitu keluarga, sekolah dan masyarakat dalam memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak kita.

Setiap institusi ini mempunyai peranan tersendiri dalam membentuk generasi masa hadapan yang sejahtera dari pelbagai aspek seperti emosi, intelektual dan sosial. Jika salah satu dari institusi ini kurang berperanan, maka akan pincanglah generasi pewaris yang bakal kita lahirkan kelak.

Oleh yang demikian, usaha sama antara semua pihak perlu kita gemblengkan dan
disinergikan agar kita dapat melihat generasi masa hadapan yang cemerlang secara holistik. Kini bukan lagi masa untuk berpangku tangan dan menyerahkan tugas kepada hanya satu pihak sahaja.

Kita sudah kesuntukan masa, ayuh kembalikan peranan setiap institusi ini agar menjadi wadah kelangsungan pendidikan yang ampuh bagi anak-anak kita bakal pewaris masa hadapan.

Roselinee Mohammad Radzi
Ahli Jawatankuasa Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Negeri Selangor