Gambar hiasan

SEPANG – Pergerakan penumpang antarabangsa di Malaysia merekodkan kira-kira 107,000 untuk ketibaan dan pelepasan pada April, dan kesemua mereka melalui langkah-langkah pemeriksaan kesihatan dan keselamatan yang ketat sepertimana ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan hari ini memberitahu, sebanyak 102,000 trafik penumpanag antarabangsa dicatatkan pada Mac manakala Februari (73,000) dan Januari (96,000).

Pergerakan penumpang antarabangsa termasuk warga asing yang kembali ke negara asal mereka, pelajar yang melanjutkan pengajian di luar negara, pemastautin tetap yang pasangan atau ahli keluarga mereka warganegara Malaysia, diplomat dan mereka yang mendapat kebenaran daripada Jabatan Imigresen Malaysia untuk menjalankan tugas rasmi atau perniagaan.

“Tambahan pula, semua lapangan terbang di Malaysia kekal beroperasi sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan untuk memudahkan urusan menyelamat dan penghantaran pulang, serta penerbangan kargo ke dalam dan luar negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan dakwaan yang tersebar dalam pelbagai platform sembang dan laporan media yang mengaitkan kewujudan pelbagai varian COVID-19 di negara ini dengan trafik penumpang yang tinggi pada April lepas.

MAHB menjelaskan jumlah 1.96 juta pergerakan penumpang yang direkodkan bulan lepas meliputi kesemua rangkaian lapangan terbang kendalian kumpulan itu di Malaysia dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG) di Turki, milik penuh MAHB.

Berdasarkan perinciannya, pergerakan penumpang domestik di lapangan terbang Malaysia ialah 523,000 manakala 107,000 trafik penumpang antarabangsa direkodkan sementara di ISG, Turki mencatatkan 913,000 untuk penumpang domestik dan 441,000 penumpang antarabangsa. – MalaysiaGazette