Anggota RELA meminta orang ramai menjaga penjarakan fizikal susulan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasaraya ST Rosyam Mart, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 05 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Pasukan Task Force Operasi Pemantauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan sebanyak 69,872 pemeriksaan di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ia melibatkan seramai 3,717 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 15,101 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang tempoh itu.

“Semalam sahaja, seramai 724 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan mengingkar SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 712 individu dikompaun manakala 12 lagi direman,” katanya dalam kenyataan perkembangan harian PKP hari ini.

Tambah Ismail Sabri, seramai 227 orang dikesan melakukan kesalahan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Selain itu jumlah individu yang gagal merekod butiran diri serta daftar masuk premis adalah seramai 148 orang.

“Seramai 130 orang diambil tindakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka, 68 orang didapati tidak patuh arahan kawalan pergerakan, 63 orang dikenakan tindakan kerana merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan lain-lain kesalahan melibatkan seramai 88 orang,” ujarnya.

Dalam Operasi Bentang di sempadan negara semalam telah menangkap tiga rakyat tempatan dan merampas tiga buah kenderaan darat disyaki cubaan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke dalam negara.

“Dalam operasi itu juga, sebanyak 177 buah bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan sementara seramai 15 orang PATI turut diusir menerusi dua aktiviti pengusiran,” tegasnya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kata “15 orang PATI turut diusir” terlalu sikit sangat berbanding khabarnya sekitar empat setengah juta pati bersepah-sepah cari makan haram jadah dibayar upah lebih rendah oleh dalang majikan tempatan.

Comments are closed.