Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjalan keluar selepas diambil keterangan bagi membantu siasatan kes bekas Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk dirakamkan percakapan berhubung dakwaan seorang pemimpin UMNO tidak memakai pelitup muka.

Menurut Syed Saddiq, ini merupakan kali kedua dipanggil bagi membantu siasatan polis mengenai ciapan terbarunya di Twitternya yang mendakwa Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak memakai pelitup muka pada Selasa lalu.

“Panggilan hari ini adalah supaya saya dapat membantu siasatan melalui rakaman percakapan berkenaan ciapan saya yang mempersoalkan Datuk Seri Tajuddin apabila beliau memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka.

“Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Disember 2020 mengatakan tidak cukup hanya pakai pelindung muka, kena pakai pelitup muka,” katanya pada sidang media di luar pekarangan IPD Dang Wangi, hari ini.

Selasa lalu, Syed Saddiq dalam akaun Twitter miliknya menyatakan memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka adalah satu kesalahan dan semua pihak maklum tentang perkara tersebut.

Dalam ciapan tersebut, Ahli Parlimen Muar itu turut memuat naik gambar Tajuddin semasa sidang media Prasarana mengenai insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung tanpa memakai pelitup muka.

Terdahulu Syed Saddiq tiba di pekarangan IPD Dang Wangi kira-kira jam 12.20 tengah hari dan beredar dari pejabat polis itu selepas dua jam dirakam percakapan, hari ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq juga sedia dipanggil beberapa kali untuk memberi kerjasama dengan pihak polis berhubung kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) itu.

“Saya telah memberikan bantuan penuh kepada pihak polis dan rakaman percakapan adalah mengenai isu tersebut.

“Ini kali kedua dipanggil dalam masa tempoh kurang satu minggu, tapi tak apa, kita bagi bantuan penuh kepada pihak polis.

“Kalau banyak kali saya akan usahakan sebaik mungkin beri bantuan sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya.

Ditanya berkenaan telefon bimbitnya, Syed Saddiq bagaiamanapun berkata, tiada sebarang rampasan berlaku pada kali ini.

“Alhamdulillah kali ini saya masuk ada telefon, keluar pun ada telefon juga.

“Bila telefon lama akan dipulangkan itu saya tidak pasti.

“Soalan tersebut perlu dijawab oleh pihak polis,” katanya. – MalaysiaGazette