Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di empat negeri bermula Sabtu ini hingga 11 Jun depan.

Empat negeri itu adalah Perak, Terengganu, Pahang dan Sabah, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Menurut beliau, di Perak, PKPD dilaksanakan di Mukim Sitiawan, Manjung yang mana Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan situasi semasa kes Covid-19 di kawasan berkenaan termasuk Ayer Tawar.

“Sehingga kini, Mukim Sitiawan telah mencatatkan 135 kes semasa dalam tempoh 10 Mei sehingga 23 Mei lalu sekali gus menyumbang sebanyak 58.7 peratus kes jangkitan di daerah Manjung.

“Selain itu, berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam kawasan berkepadatan tinggi serta jangkitan dalam komuniti di mukim ini yang melibatkan Pekan Sitiawan, Pekan Ayer Tawar, Pekan Kampung Koh, Pekan Pasir Panjang dan Bandar Seri Manjung.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Mukim Sitiawan, Manjung, Perak berkuat kuasa 29 Mei sehingga 11 Jun ini,” katanya bagi menyekat pergerakan keluar masuk penduduk dan mengurangkan risiko penularan dalam kalangan komuniti setempat di sini.

Dalam kenyataan perkembangan pelaksanaan PKP hari ini, beliau menambah PKPD turut diumumkan di tiga lokaliti di Bera, Pahang untuk tempoh yang sama.

Ismail Sabri yang juga ahli Parlimen di kawasan berkenaan berkata, situasi semasa di tiga lokaliti dalam daerah Bera melibatkan Bandar Triang, Pekan Kemayan dan Gugusan Mendi menunjukkan berlaku peningkatan kes amat ketara apabila sebanyak 76 kes positif telah direkodkan hasil daripada 1,258 ujian saringan yang dilakukan oleh KKM dengan kadar positiviti enam peratus.

Justeru katanya, mengambil kira situasi itu penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP serta atas nasihat KKM, PKPD akan dilaksanakan di tiga mukim seperti dinyatakan selama 14 hari mulai Sabtu ini.

Langkah itu akan memastikan KKM menjalankan pengesanan awal kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan kes ke lokaliti lain.

Dalam perkembangan sama, PKPD juga diumumkan untuk tempah sama di Mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu

Ujar beliau, penilaian situasi semasa di situ mendapati berlaku peningkatan kes amat ketara dalam masa yang singkat apabila sebanyak 37 kes positif telah direkodkan hasil daripada 213 ujian saringan dengan kadar positiviti 17.4 peratus.

“Pada masa sama, telah berlaku penularan kes di semua lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi dan hasil penilaian risiko, kerajaan PKPD di mukim itu selama 14 hari mulai 29 Mei ini untuk menyekat pergerakan dan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” ujarnya.

Sementara itu PKPD turut dilaksanakan bagi tempoh berkenaan di Kampung Baru Durok, Keningau, Sabah dan hasil 158 ujian saringan yang dijalankan mendapati sebanyak 28 kes positif direkodkan dengan kadar positiviti ialah 17.72 peratus di lokaliti tersebut.

Malah beliau memberitahu berlaku peningkatan kes amat ketara dalam masa yang singkat dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Hasil penilaian risiko menyebabkan kerajaan melaksanakan PKPD di kampung berkenaan bagi tujuan menyekat pergerakan penduduk serta mengekang penularan wabak Covid-19 ke luar kawasan.

“Satu lagi kawasan di Sabah yang turut dikenakan PKPD adalah di Kampung Mook, Kinarut, Papar selepas sehingga kini sebanyak sembilan kes positif telah direkodkan hasil daripada 35 ujian saringan dilakukan oleh KKM dengan kadar positiviti ialah 25.7 peratus.

“Pada masa yang sama beraku penularan kes di semua lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kampung berkenaan akan dikawal ketat dengan penguatkuasaan PKPD bermula 29 Mei hingga 11 Jun ini bagi menyekat pergerakan dan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.

“Segala prosedur operasi standard yang harus dipatuhi penduduk setempat di kesemua kawasan itu adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast