Pengunjung Pasar Awam Jalan Kuantan di Geoge Town dilihat mematuhi SOP Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang menggesa kerajaan pusat menyegerakan pengumuman bantuan khas susulan pelaksanaan total lockdown fasa pertama bermula Selasa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ kali ini akan memberi kesan mendalam berbanding pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada 18 Mac tahun lalu.

Jagdeep Singh Deo.

Jelas Jagdeep, pihaknya berharap kerajaan pusat memberikan peruntukan yang sesuai kepada semua negeri untuk membolehkan kerajaan negeri membantu golongan yang memerlukan.

“Pulau Pinang menerima peruntukan berjumlah RM130 juta daripda kerajaan pusat pada PKP 1.0 dan kita harap peruntukan kali ini tidak kurang dari itu.

“Kita juga minta kerajaan umumkan segera bantuan khas buat rakyat Malaysia susulan pelaksanaan PKP 3.0 ini ramai sudah kehilangan pendapatan, perniagaan merosot jadi ramai akan tertekan untuk meneruskan kehidupan mereka.

“Saya menyokong tindakan kerajaan mengumumkan total lockdown tapi dalam masa sama saya harap bantuan yang sesuai diberikan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan pemeriksaan mengejut pematuhan SOP di Pasar Awam Jalan Kuantan di sini hari ini.

Jagdeep (kanan) mengagihkan pelitup muka kepada peniaga di Pasar Awam Jalan Kuantan di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer serta Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lanchang, Ong Ah Teong.

Dalam pemeriksaan itu, rata-rata pengunjung pasar awam terbabit dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam menangani penularan jangkitan Covid-19.

Semalam kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, menerusi total lockdown atau perintah berkurung penuh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Untuk rekod, semalam negara mencatatkan sebanyak 8,290 kes positif Covid-19 sekali gus menjadikan keseluruhan kes sejak wabak itu melanda negara Februari tahun lalu sebanyak 549,514 kes. – MalaysiaGazette