KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Persekutuan dengan keputusan majoriti 4-3, menolak rayuan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang bapanya warganegara tempatan dan ibunya rakyat Filipina bagi mendapatkan kerakyatan Malaysia dilhat membimbangkan.

Keputusan majoriti itu memutuskan Seksyen 17 Bahagian III Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan kanak-kanak dilahirkan tanpa perkahwinan sah adalah mengikut kewarganegaraan ibunya pada Jumaat lalu.

Justeru bekas Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy berpandangan, bagi mengelak perkara itu berulang, kerajaan perlu dengan kadar segera meminda Perlembagaan bagi melindungi hak asasi kanak-kanak yang tidak bersalah.

Katanya, tiada anak yang patut dinafikan hak kewarganegaraan atas dasar tidak sah taraf seperti yang terjadi dalam kes kanak-kanak berusia 10 tahun itu.

Jelasnya, hakikatnya perlu ada pindaan dan penambahbaikan dengan peruntukan yang sudah ‘lapuk’ Perkara 17 Perlembagaan Persekutuan) yang digunakan untuk penghakiman majoriti dalam kes tersebut.

“Kita hormat keputusan mahkamah kerana mereka ikut undang-undang yang telah diperuntukkan tetapi pada masa, ia sungguh membimbangkan dan ramai tidak bersetuju dan gusar dengan keputusan itu termasuklah saya.

“Tidak sepatutnya seorang anak dinafikan hak kewarganegaraan atas dasar dia tidak sah taraf, kasihan sebenarnya dan sungguh menganggu fikiran.

“Semua orang sebenarnya lebih daripada berhak untuk mendapatkan hak asasi manusia tanpa sebarang diskriminasi, antaranya termasuklah hak kewarganegaraan bukan begitu?

“Lucutkan hak kewarganegaraan anak kerana status perkahwinan ibu bapa adalah tidak adil dan dianggap penolakan hak asasinya, saya mohon pihak berwajib untuk semak kembali serta lakukan pindaan supaya ianya tidak memberikan persepsi membimbangkan seperti ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mohana mengulas keputusan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf yang menyampaikan keputusan mahkamah yang kanak-kanak itu tidak memenuhi kriteria diperlukan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk diisytiharkan sebagai warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang.

Kanak-kanak itu dilahirkan di Filipina pada September 2010 dan beberapa bulan kemudian, dia bersama ibu bapanya ke Malaysia sebelum pasangan itu mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia pada Februari 2011.

Presiden Mahkamah Rayuan itu berkata, pengesahan kanak-kanak berkenaan selepas kelahirannya menghalangnya daripada menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

Kanak-kanak itu yang identitinya dirahsiakan memohon mendapatkan kewarganegaraan Malaysia berdasarkan Perkara 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang adalah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang atau bagaimana seseorang secara automatik menjadi warganegara jika syarat di bawah Persekutuan Jadual Kedua Perlembagaan dipenuhi.

Keputusan majoriti yang menolak rayuan kanak-kanak itu adalah oleh Rohana dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim manakala Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Mary Lim Thiam Suan sebaliknya.

Tengku Maimun membenarkan permohonan itu atas dasar kanak-kanak telah  menepati semua keperluan untuk kerakyatan berdasarkan undang-undang.

Jelasnya, status sah taraf seseorang tidak relevan untuk menentukan kerakyatan asalkan identiti bapa kandungnya diketahui.

Bapa kanak-kanak itu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia bagi anaknya namun ditolak tanpa sebarang alasan yang sah pada 2012.

Kemudian melalui bapanya, dia memfailkan saman pemula memohon perisytiharan bahawa dia adalah warganegara Malaysia dan perintah mendesak Ketua Pengarah JPN mengeluarkan sijil kelahiran dan kad pengenalan Malaysia kepadanya.

Pada 23 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi menolak saman pemula itu selepas memutuskan bahawa kanak-kanak itu tidak layak mendapat kerakyatan Malaysia kerana ibunya bukan warganegara Persekutuan Malaysia ketika dia dilahirkan.

Rayuannya turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Februari  2019. -MalaysiaGazette