Wee Ka Siong.

KUALA LUMPUR – Hanya kelulusan Kementerian Pengangkutan diperlukan untuk perjalanan antara negeri bagi kenderaan komersial perkhidmatan perlu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh sehingga 14 Jun ini.

Surat tambahan lain tidak diperlukan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.

Menurutnya, kelulusan yang sama membabitkan pemandu dan kelindan bas ekspres, lori serta kenderaan-kenderaan komersial yang lain di bawah kategori perkhidmatan perlu (essential services).

“Mereka hanya perlu memohon surat kelulusan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui sistem SMILE jika memerlukan kebenaran perjalanan antara negeri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Ka Siong, pemegang surat kelulusan MOT tidak memerlukan surat kebenaran tambahan lain untuk perjalanan antara negeri sepanjang tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Fasa Pertama selama 14 hari bermula hari ini.

Seperti biasa, beliau menggesa seluruh rakyat Malaysia sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard yang ketat sepertimana ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia termasuk menggunakan cecair pembasmi kuman, memakai pelitup separuh muka, mengamalkan penjarakan sosial dan mengimbas kod QR MySejahtera jika diperlukan.- MalaysiaGazette